Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kes harian Covid-19 di negara ini mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 14,944 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang dijangkiti virus berkenaan ialah sebanyak 4,307,529 kes.

Beliau berkata, jumlah kes itu membabitkan 14,840 penularan tempatan dengan 593 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.

"Paling tinggi kategori yang dikesan semalam ialah kategori satu iaitu sebanyak 9,341 kes atau 62.51 peratus, ia diikuti kategori dua (5,537), kategori tiga (31 kes), 19 kes membabitkan kategori lima dan 16 kes bagi kategori empat.

"Daripada jumlah keseluruhan 66 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 11 kes (16.67 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 35 kes (53.03 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 20 kes (30.30 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster) dan 33 kes (50 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas.

"Manakala 32 kes lagi (48.48 peratus) mempunyai komorbid," katanya.

Menurutnya, sebanyak 206 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 79 kes disahkan Covid-19 serta 127 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 109 kes iaitu 48 kes disahkan Covid-19 serta 61 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 14,045 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 4,113,831 kes," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat dua kluster baru dikesan dan 135 masih aktif.

"Ia menjadikan jumlah kluster sebanyak 6,947 kluster dan 6,812 kluster sudah tamat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 11:11 AM