GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kes harian Covid-19 di negara ini terus meningkat kepada 30,246 kes dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah individu dijangkiti virus berkenaan sebanyak 3,711,199 kes.

Katanya, kes dilaporkan semalam membabitkan 29,828 kes penularan tempatan dengan 418 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak 20,226 kes atau 66.87 peratus, diikuti kategori satu (9,797 kes), kategori tiga (115 kes) dan masing-masing 54 kes membabitkan kategori tempat dan lima.

"Daripada jumlah keseluruhan 223 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 53.81 peratus atau 120 kes membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas, sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (107 kes), masing-masing 58 kes daripada individu yang sudah menerima dos penggalak serta tidak divaksinasi atau belum lengkap.

"Selain itu turut dilaporkan dalam kategori berkenaan ialah individu yang mempunyai komorbid iaitu dengan 53 kes serta seorang ibu mengandung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, 388 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 158 kes disahkan Covid-19 serta 230 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 225 kes iaitu 93 kes disahkan Covid-19 serta 132 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Mengenai lima kluster baharu yang dikesan oleh pihaknya, Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan sehingga kini masih terdapat 424 kluster yang masih aktif di negara ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan 26,653 kes sembuh dilaporkan semalam. Ia menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 3,367,542 individu sudah pulih daripada jangkitan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 11:15 AM