MUHAMMAD Ikhbal dan Siti Zaleha menyimpan pelbagai koleksi pokok keladi mahal antaranya 'topeng firaun' dan Billionaire.
MUHAMMAD Ikhbal dan Siti Zaleha menyimpan pelbagai koleksi pokok keladi mahal antaranya 'topeng firaun' dan Billionaire.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Pokok ini (keladi hiasan) ibarat 'ibu duit' atau 'pokok emas 916' bagi peminat tegar yang mengetahui keistimewaannya," ujar pegawai polis, Inspektor Muhammad Ikhbal Mohd Isa yang mempunyai minat mengumpul pokok hiasan itu.

Menurutnya, peminat pokok spesies Monstera, Alocasia, Caladium dan Philodendron pastinya sedia maklum harga pokok berkenaan boleh mencecah nilai puluhan ribu ringgit.

"Malah, melalui ruang niaga Live Facebook, individu yang menjual pokok keladi mampu memperoleh purata keuntungan antara RM10,000 hingga RM15,000 hanya dalam satu malam.

"Saya sendiri memiliki anak pokok keladi Topeng Firaun (Colocasia Pharaoh Mask) yang mempunyai harga pasaran sekitar RM1,000 bagi anak pokok kecil dan melebihi RM2,000 bagi pokok dewasa.

"Selain itu, pokok keladi diberi gelaran 'pokok keladi Billionaire' (Caladium Billionaire) boleh mencecah harga RM1,500 untuk anak pokok," katanya.

Menurutnya, harga pokok ini ditentukan berdasarkan kesukaran mendapatkan spesies tertentu selain gabungan corak yang cantik pada warna daunnya.

"Ia turut ditentukan oleh lenggok dahan daun, warna lebih menyerlah, bentuk ubi, corak daun dan saiz keladi itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, kegilaan terhadap pokok keladi di negara ini dikesan mula meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu sedangkan hobi itu sudah sekian lama diminati rakyat negara jiran.

"Menyimpan pokok keladi pelbagai spesies unik ini ibarat menyimpan emas. Sebagai contoh Keladi Devasuwan (Caladium Devasuwan) yang dianggap paling unik boleh mencecah harga hingga RM30,000.

"Begitu juga keladi Rattana Rung Reuang (Caladium Rattana Rung Reuang) dan Alocasia New Guinea Gold, Keladi Monstera Delicosa Aurea dan pokok keladi Manee Lomphet yang boleh mencecah harga sehingga RM10,000 bagi anak pokok spesies ini," katanya.

Beliau yang berkongsi hobi itu dengan isterinya, Siti Zaleha Bakar memberitahu minat menyimpan pokok keladi itu ibarat hobi berbaloi berikutan ia boleh dijual pada harga tinggi sebaik pokok berkenaan matang.

"Sebagai contoh pokok keladi induk yang subur akan mengeluarkan dua hingga tiga batang anak pokok. Bayangkan pendapatan mampu diperoleh individu yang menjual pokok ini.

"Ini antara punca berlaku banyak jenayah mencuri pokok ini dari kediaman pemiliknya sejak kebelakangan ini," kata Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Terengganu ini.

Makin rare makin mahal

'Demam' keladi belum kebah. Itu antara gambaran terhadap hobi ribuan individu yang masih terus 'gila' mengumpul pelbagai spesies pokok keladi hiasan hingga sanggup menghabiskan berpuluh ribu ringgit.

Jika sebelum ini spesies pokok lidah jin atau turut dikenali sebagai pokok Lidah Mentua (Sanseveria) menjadi buruan namun kini minat mereka beralih arah kepada keladi hiasan.

Jurucakap Seksyen Komoditi Bernilai Tinggi Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Jabatan Pertanian Malaysia berkata, terdapat lebih 40 kumpulan (genus) dari famili Araceae yang dikenal pasti di seluruh dunia.

"Antara genus di dalam famili ini yang popular di Malaysia adalah Monstera, Alocasia, Caladium, Philodendron, Anthurium, Syngonium dan Epipremnum. Bagaimanapun, keladi hiasan digemari adalah dari genus Caladium.

"Berdasarkan kajian dilakukan, pihak kami mendapati spesies Caladium, Monstera dan Colocasia kerap menjadi pilihan penggemar tanaman hiasan ketika ini.

"Harga pasaran spesies keladi ini bergantung kepada trend permintaan yang tinggi oleh pembeli dan peminat pokok hiasan itu sendiri.

"Antara faktor yang menyebabkan harga tinggi berpunca apabila segelintir spesies ini sukar diperolehi atau dianggap spesies keladi unik.

"Spesies keladi mahal ini termasuklah pokok keladi yang sudah dikacuk dan mempunyai pelbagai corak dan warna," katanya.

Menurutnya, harga pokok keladi ini turut ditentukan mengikut saiz pokok dan bilangan daun. Pokok keladi yang besar atau mempunyai bilangan daun yang banyak mempunyai harga lebih mahal.

"Kerana itulah pokok spesies unik ini memerlukan kaedah penjagaan yang rapi, baja dan kawalan terhadap perosak serta penyakit," katanya.

Menurutnya, terdapat nurseri yang menjual dan membiakkan tanaman ini berdasarkan peningkatan permintaan di pasaran.

"Permintaan terhadap tanaman hiasan ini meningkat semenjak pandemik Covid-19 melanda negara di mana rakyat Malaysia mula berminat dengan menanam pelbagai tanaman hiasan di rumah.

"Minat terhadap tanaman keladi hiasan ini adalah subjektif bagi setiap individu.

"Tanaman ini menjadi buruan peminatnya termasuk pengumpul koleksi berikutan spesies keladi ini mempunyai pelbagai warna serta corak yang menarik.

"Selain itu, minat pembeli yang semakin tinggi akibat promosi secara tidak langsung di media sosial sekaligus menyebabkan peminat keladi hiasan mahu mendapatkan pelbagai jenis pokok keladi ini.

"Tidak dapat dinafikan juga tanaman ini dianggap sebagai terapi minda dan fizikal bagi mengurangkan tekanan emosi dalam kalangan masyarakat," katanya.

Menurutnya, jabatan itu di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) sentiasa menggalakkan usaha dalam mempelbagaikan spesies tanaman hiasan bagi meningkatkan ekonomi masyarakat sekaligus dijadikan sumber pendapatan kepada pengusaha atau peminat tanaman itu.

"Bagaimanapun, pihak Jabatan Pertanian Malaysia mengesyorkan pengusaha dan peminat pokok hiasan mengikut prosedur pengurusan, pengendalian dan kuarantin tanaman ditetapkan oleh kerajaan selain menjaga sumber biodiversiti supaya tidak musnah dan pupus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 8:01 AM