Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya pada 15 Januari lalu.

Tertuduh, Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Azam didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Hamidah Ismail, 56.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah bernombor 3E 489, Pasir Penambang antara 8.10 pagi hingga 6.08 petang, 15 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Oon, manakala tertuduh diwakili Naim Mahmud.

Sementara itu, Kenneth memohon kepada mahkamah untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Klang untuk dibicarakan sementara menunggu penyediaan laporan forensik, kimia dan bedah siasat.

Naim pula memohon mahkamah membenarkan anak guamnya menjalani pemeriksaan psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.

 Mohamed Azam (berbaju lokap) diiring pegawai dan anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini. Foto Amirul Aiman Hamsuddin
Mohamed Azam (berbaju lokap) diiring pegawai dan anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini. Foto Amirul Aiman Hamsuddin

Roslizi kemudiannya membenarkan tempoh penyediaan laporan pihak pendakwaan, manakala pembelaan diminta membuat permohonan di Mahkamah Tinggi.

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan di Mahkamah Majistret yang sama pada 28 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 12:10 PM