Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes penyampai radio dan pengasas Bapakku FM, Isma Halil Hamzah yang berdepan dengan pertuduhan mengedar dadah, 27 Ogos lalu.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan tarikh itu selepas mendapati laporan kimia masih belum dapat disediakan oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Mengikut pertuduhan, Isma, 48, didakwa mengedar dadah jenis Cannabis anggaran berat 409 gram di rumah di nombor 1, Jalan Kent 7 Off Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada 5.35 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Peguam yang mewakili Isma, Adi Zulkarnain Zulkafli, 35, berkata, anak guamnya perlu menunggu dua bulan lagi sehingga tarikh sebutan kes berikutnya sementara menunggu laporan kimia siap.

"Buat masa ini, beliau masih direman di Penjara Sungai Buloh sehingga kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi kelak.

"Proses ini akan mengambil masa yang lama dan diharap tiada sebarang pihak yang membuat sebarang spekulasi.

"Pada 6 September lalu, pertuduhan dibacakan terhadap Isma di Mahkamah Majistret ini namun tiada pengakuan direkodkan," katanya ketika ditemui sejurus prosiding di Mahkamah Majistret dekat Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

TERTUDUH (berbaju oren) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Owee Ah Chun
TERTUDUH (berbaju oren) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Owee Ah Chun

Berkongsi keadaan Isma, Adi Zulkarnain mengesahkan tidak menerima aduan berkaitan masalah kesihatan anak guamnya.

"Keadaan Isma sihat, beliau diberikan kerja dalam penjara dan tiada aduan berkaitan kesihatan.

"Isma ada kongsikan tulisan tangan berkenaan keadaan beliau dalam penjara dan saya akan kongsikan di Facebook (Fb) saya hari ini.

"Kami membawa harapan untuk membawa beliau pulang, kita akan pikul sehingga ke garisan penamat dan membelanya sehabis baik," katanya.

Sejurus prosiding, Isma yang memakai baju T oren dan seluar putih kelihatan keluar daripada bilik mahkamah dengan diiringi anggota polis.

Isteri, Nor Haslinda Abdul Manaf, 48, anak dan rakannya, Md Sahrol Lagiman, 40 turut hadir bagi memberikan sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 12:01 PM