RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO ihsan  FB Epul Adam Helmet Bajet
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO ihsan FB Epul Adam Helmet Bajet
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis menahan dua lelaki yang menjadi pengiring atau marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu masing-masing bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang.

Menurutnya, kedua lelaki itu ditahan pada 12.30 tengah malam dan 2.45 pagi tadi di rumah mereka di kawasan Port Dickson dan Springhill, Lukut.

"Turut dirampas dua motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dan Kawasaki Z800, topi keledar, pakaian dan kasut yang digunakan mereka ketika menahan kenderaan awam.

"Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Katanya, polis dalam usaha mengesan empat lagi individu yang bertindak sebagai marshal.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada polis bagi membantu siasatan.

"Polis juga berharap marshal itu menyerah diri bagi memudahkan siasatan lanjut," katanya.

Polis mengesan individu terbabit selepas rakaman video berdurasi satu minit 10 saat tular di laman sosial yang menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong pada 20 November lalu.

Mereka bertindak demikian dipercayai bertujuan memberi laluan kepada konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak melepasi lampu isyarat merah.

Konvoi motosikal berkuasa besar itu bergerak dari Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong ke Bulatan Sunggala, Telok Kemang.

Berita berkaitan

Polis cari 'marshal' berlagak polis trafik [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 10:43 AM