LAPORAN Harian Metro baru-baru ini
LAPORAN Harian Metro baru-baru ini
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Semua kenderaan pengiring atau 'marshall' tidak dibenarkan sama sekali untuk mengawal lalu lintas tanpa pembabitan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, penggunaan marshall dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa jua program mestilah dengan kehadiran anggota polis.

"Orang awam atau pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah marshall ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi.

"Akta Polis 1967 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan dengan memberikan kuasa kepada Pegawai Polis, Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Warden Trafik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengawal lalu lintas di jalan awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, individu atau kumpulan yang membuat tindakan memberhentikan, mengawal atau melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota polis akan di ambil tindakan.

Pada Selasa lalu, polis menahan dua lelaki yang menjadi pengiring atau marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson.

Lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu masing-masing bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit 10 saat di laman sosial yang menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong pada 20 November lalu.

Mereka bertindak demikian dipercayai bertujuan memberi laluan kepada konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak melepasi lampu isyarat merah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 4:20 PM