STATUS berkahwin bukan halangan terus berlakon.
STATUS berkahwin bukan halangan terus berlakon.
Sudirman Mohd Tahir


REZEKi tidak pernah salah alamat. Semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Biasanya ada pihak mendakwa kebanyakan selebriti yang sudah berkahwin pasti akan melalui zaman 'kesuraman'.

Namun, tidak bagi pelakon kacak, Aidit Noh, 28, atau nama sebenarnya Ahmad Aidit Noh yang boleh dikatakan rezekinya makin murah selepas mendirikan rumah tangga dengan Nur Afiqah Hanani Mohd Yani, 22, pada 29 Mei lalu.

Selepas membintangi drama bersiri Tahyul terbitan Zeel Production yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini, Aidit sekali lagi meneruskan penggambaran bersama produksi itu menerusi drama Kerana Dia Suka serta drama 80 episod terbitan Radius One.

"Alhamdulillah, selepas berkahwin pada Mei lalu tawaran berlakon sentiasa ada walaupun kita semua diuji dengan pandemik Covid-19. Sama ada sudah berkahwin atau tidak, itu bukan soalnya. Bagi saya itu semua rezeki.

"Apa-apa pun, masih banyak sangat perkara yang perlu saya perbaiki dan belajar untuk mantapkan persembahan lakonan saya. Terima kasih kepada pengarah, penerbit dan ku kerana banyak membantu saya. Antaranya ialah penerbit Haji Zeel (Zeel Production) yang selalu kritik lakonan saya kayu atau tak menjadi. Jadi, daripada situ saya belajar dan perbaiki mutu lakonan," katanya.

Menurut Aidit, status bukanlah persoalan utama sebaliknya menjadi anak seni perkara yang mesti dititikberatkan adalah sikap, disiplin kerja dan penampilan.

"Bagi lelaki yang sudah berkahwin seperti saya, selagi mana menjaga penampilan dan kualiti lakonan, insya-Allah ada rezeki.

AIDIT akui watak lelaki ego, Ghazry dalam drama bersiri Tahyul sukar dan mencabar.
AIDIT akui watak lelaki ego, Ghazry dalam drama bersiri Tahyul sukar dan mencabar.

"Bukan itu saja, sikap dengan penerbit, stesen televisyen, rakan media, teman artis, kru dan sesiapa saja perlu dijaga," katanya.

Berkongsi menerusi lakonannya dalam Tahyul, Aidit yang melakonkan watak sebagai Ghazry iaitu suami kepada Mina (lakonan Tania Hudson) mengakui susah dan mencabar.

"Ghazry seorang yang panas baran, kepala angin dan mempunyai ego yang tinggi. Bagi saya, watak sebegini agak susah sebab memang dia panas baran daripada mula tapi pada masa yang sama ada sedikit rasa sayang. Kadang-kadang macam seorang yang psiko juga. Kalau nak bawa watak marah-marah setiap masa tak berapa susah, tapi apabila kena selitkan babak romantik itu yang agak sukar. Bukan senang nak jadi panas baran yang romantik.

"Sejujurnya, bagi saya watak Ghazry ini memang sukar dan mencabar. Pengarah banyak 'guide' saya supaya sentiasa 'on track' sampai habis penggambaran supaya saya tak lari daripada karakter sebenar. Terima kasih juga kepada semua pasukan Tahyul," katanya.

LAKONAN dalam drama Tahyul mendapat pujian ramai.
LAKONAN dalam drama Tahyul mendapat pujian ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:05 AM