MANGSA diperdaya suspek menyamar sebagai pegawai LHDN mendakwa mempunyai tunggakan cukai.
MANGSA diperdaya suspek menyamar sebagai pegawai LHDN mendakwa mempunyai tunggakan cukai.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Mereka bukan golongan penjenayah amatur apabila begitu yakin dan berani berlakon sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman untuk memperdaya beribu mangsa.

Terbaru suspek sindiket penipuan Macau Scam ini didakwa turut menyamar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan untuk menggertak mangsa sebelum diperdaya.

Mangsa yang juga pegawai kewangan di Setapak di sini, memaklumkan menjadi mangsa selepas dihubungi suspek menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya jam 9.30 pagi, 7 Oktober lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 43, mendakwa pegawai LHDN memperkenalkan diri sebagai Fazila itu memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM58,500.

"Saya menafikan perkara itu sebelum panggilan telefon disambungkan pula kepada seorang pegawai polis. Saya makin terkejut apabila pegawai polis terbabit sebaliknya mendakwa saya terbabit dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM228,000.

"Malah, suspek berpura-pura membuat semakan nombor MyKad saya sebelum bertanya sama ada saya mengenali individu dengan nama Tan Wai Kit.

"Pegawai polis itu mendakwa menemui buku akaun bank milik saya ketika serbuan dilakukan terhadap sindiket penggubahan wang haram," katanya.

Dia yang menafikan mengenai nama individu itu sekali lagi disambungkan panggilan kepada seorang pegawai kanan polis Bukit Aman dikenali sebagai Datuk Abdul Jalil.

"Pegawai kanan polis itu mengarahkan saya memberi maklumat berhubung akaun bank milik saya di empat bank berbeza di pautan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Suspek memaklumkan akaun bank saya akan dibekukan untuk tujuan siasatan polis," katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong di Wisma MCA di sini, semalam.

Menurutnya, dua jam kemudian, dia menerima mesej dari sebuah bank mendakwa wang simpanannya berjumlah RM3,000 dipindah keluar.

"Tidak lama kemudian, wang saya dari sebuah lagi bank berjumlah lebih RM4,000 dipindah tanpa kebenaran saya.

"Keesokan harinya, suspek pegawai kanan polis itu mendakwa maklumat peribadi saya terdedah. Dia mengarah saya membuat pinjaman peribadi berjumlah RM150,000 di sebuah bank tempatan bagi memastikan sama ada nama saya disenarai hitam atau tidak," katanya.

Permohonan pinjaman itu ditolak menyebabkan dia menyangka benar-benar menjadi mangsa sindiket.

"Datuk Abdul Jalil menghubungi saya dua hari kemudian dan memberitahu mahu menolong saya. Namun dia meminta saya menghantar salinan gaji, kenyataan bank, MyKad dan dokumen pengesahan jawatan.

"Tidak lama kemudian saya dimaklumkan proses permohonan pinjaman saya diluluskan RM40,000. Namun sekali lagi wang dikeluarkan tanpa kebenaran saya.

"Saya menghubungi semula Datuk Abdul Jalil untuk mendapatkan penjelasan namun dia meminta saya mengabaikan perkara itu. Malah, dia memaklumkan seorang pegawai Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram (Amla) bernama puan Nurul akan menghubungi saya.

"Saya tambah pelik apabila Nurul mengarah saya membuat pinjaman tambahan di beberapa lagi bank membabitkan RM72,000," katanya.

Wong berkata, dia diarah memindahkan sejumlah wang ke akaun bank milik seorang lelaki tidak dikenali.

"Keadaan tambah membingungkan apabila Nurul meminta maklumat bank milik suami saya. Namun saya tidak memberi maklumat diminta itu," katanya.

Dia yang menyedari ditipu hampir RM120,000 membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini.

Sementara itu Micheal Chong menasihati orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan individu yang menyamar sebagai anggota penguatkuasa atau agensi keselamatan.

"Ini bukan kali pertama dan pihak kami sudah menerima beratus laporan dari mangsa yang kerugian puluhan hingga ratusan ribu ringgit akibat diperdaya sindiket sama.

"Sehingga kini dianggarkan lebih RM1 juta wang milik mangsa yang ditipu dan dilaporkan pihak kami sejak Januari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 7:01 AM