Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Sejak penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berkeadaan tragis pada pagi 17 September 2007 dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya, Selangor, Jazimin Abdul Jalil tetap berpendirian itu bukanlah anaknya, Nurin Jazlin.

Sepanjang tempoh 14 tahun kejadian Nurin Jazlin hilang hingga kini, Jazimin, 47, berkata, dia masih mengingati pengecaman fizikal yang dilakukan terhadap mayat kanak-kanak berkenaan berlainan dengan ciri-ciri pada anaknya yang ketika itu berusia lapan tahun.

Beliau berkata, ini termasuk saiz gigi yang berbeza, tahi lalat hidup di paha dan ketiadaan parut suntikan pelalian Bacillus Calmette–Guerin (BCG).

"Dari dahulu lagi saya menafikan bahawa kanak-kanak itu Nurin Jazlin seperti kenyataan yang diulangi sebelum ini. Waktu itu saya perlu lunaskan fardu kifayah terhadap jenazah kanak-kanak berkenaan untuk dikebumikan.

"Jenazah kanak-kanak itu ada tahi lalat hidup di paha yang hakikatnya tidak ada pada anak saya. Begitu juga dengan saiz gigi jenazah yang lebih besar berbanding Nurin Jazlin.

"Saya sudah tanya rakan pakar forensik adakah saiz gigi seseorang boleh berubah jika menjadi mangsa penderaan? Pakar forensik berkata tidak akan berlaku demikian.

"Kemudian jenazah kanak-kanak dikatakan Nurin Jazlin itu tidak mempunyai parut BCG sedangkan anak saya sudah mengambil pelalian berkenaan," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di kedai makanan miliknya di Menara Teo Chew, Pekeliling, di sini, kelmarin.

GAMBAR kenangan Nurin (kiri) bersama kakak dan adiknya. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR kenangan Nurin (kiri) bersama kakak dan adiknya. FOTO Arkib NSTP

Pada masa itu, katanya, tiada sesiapa yang menuntut jenazah dan tiada sesiapa membuat laporan polis mengatakan kehilangan kanak-kanak atau kehilangan anak.

Menurutnya, ketika itu juga hasil daripada pemadanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang didakwa mengesahkan mayat kanak-kanak terbabit adalah Nurin Jazlin juga dipertikaikannya berikutan keputusannya diperoleh terlalu cepat.

"Saya pernah meminta supaya ujian pemadanan DNA dilakukan sekali lagi namun terpaksa saya batalkan apabila pihak berkuasa memberitahu ia akan menyebabkan jenazah lebih lama di peti mayat.

"Memang pada waktu itu saya hanya mahu menunaikan fardu kifayah supaya pengurusan jenazah kanak-kanak yang ditemui dapat disempurnakan segera walaupun enggan menerima dan mengakui itu Nurin Jazlin," katanya.

Sehubungan itu, Jazimin meminta kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes Nurin Jazlin.

"Itulah satu daripada langkah yang saya harapkan. Tubuhkan jawatankuasa khas. Jika kerajaan tubuhkan jawatankuasa khas untuk mencari kebenaran kes Adib (anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim), Pulau Batu Putih dan Tommy Thomas (bekas Peguam Negara), saya nakkan keadilan untuk anak saya, Nurin Jazlin.

"Selama 14 tahun saya masih menunggu jawapan daripada pihak yang berwajib mengenai siapa pelaku kepada Nurin Jazlin," katanya.

LAPORAN muka depan Harian Metro berkaitan kes pembunuhan Nurin. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN muka depan Harian Metro berkaitan kes pembunuhan Nurin. FOTO Arkib NSTP

Jazimin berkata, dia ada membuat laporan polis pada Jun lalu selepas mendapat petunjuk lain daripada seorang individu warga Indonesia berhubung suspek kes Nurin Jazlin, tetapi masih belum dapat reaksi positif.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terbaru itu, seorang lelaki Indonesia yang bekerja dalam bidang perkapalan dikatakan menculik Nurin Jazlin dan anaknya itu sudah dibawa ke negara jiran berkenaan.

Katanya, dia tidak berniat untuk mencari publisiti apabila meminta pihak berkuasa melakukan siasatan semula kes Nurin Jazlin, sebaliknya semata-mata mahukan keadilan.

"Kalau pihak berwajib tak dapat anak saya dalam keadaan yang selamat, sekurang-kurangnya dapat si pelaku itu untuk dibawa ke muka pengadilan, baru saya berpuas hati. Baru saya boleh tidur lena. Kalau tidak saya asyik teringat sahaja.

"Kadang-kadang jam 3 pagi saya terjaga, saya teringatkannya. Sampai bila saya nak bersikap macam itu," katanya.

Beliau berkata, walaupun berat mengakui mayat ditemui 14 tahun lalu itu dan yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak adalah Nurin Jazlin namun sekurang-kurangnya ada pusara untuk diziarahi daripada hilang begitu sahaja.

Hingga kini, katanya, dia masih menyimpan pakaian sekolah yang ada tanda nama Nurin Jazlin sebagai kenangan walaupun ia semakin lama semakin lusuh.

"Pakaian Nurin Jazlin yang lain sudah disedekahkan kepada orang memerlukan," katanya.

JAZIMIN kini membuka kafe di medan selera Malay Town Kuala Lumpur dan turut memaparkan gambar Nurin.  FOTO Zulfadhli Zulkifli
JAZIMIN kini membuka kafe di medan selera Malay Town Kuala Lumpur dan turut memaparkan gambar Nurin. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Mengenai perniagaan kedai makannya, Jazimin berkata, ada sebab dia meletakkan gambar besar Nurin Jazlin pada papan tanda dan sepanduk kedai di dua cawangannya.

Menurutnya, ini kerana dia masih berharap jika Nurin Jazlin masih hidup, anaknya itu akan kembali pulang ke pangkuannya jika terpandangkan paparan gambar terbabit.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, kira-kira jam 8 malam, 20 Ogos 2007.

Dia yang menghidap komplikasi buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang ketika keluar berseorangan untuk membeli sepit rambut di pasar malam itu.

Penjenayah yang dikatakan menculiknya menyumbat mayat mangsa dalam beg sukan sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.

Mayat itu kemudian ditemui oleh pemilik kedai sebelum diadukan pada polis.

Polis kemudian berusaha menjejaki suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian namun kualiti video yang kurang jelas menyukarkan polis untuk mengecam wajah suspek.

Berita berkaitan

  • 'Tak pernah tutup kertas siasatan'
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 12:01 PM