MILA JIRIN
MILA JIRIN
Ridzuan Abdul Rahman

"SAYA tidak berapa ingat situasi sebenar ketika itu kerana ia sudah lama berlalu.

"Namun apa yang boleh dikatakan, saya berjumpa adik beradik arwah dan beri kata-kata semangat kepada mereka."

Demikian kata penyanyi, Mila Jirin mengenai kunjungannya ke rumah keluarga Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin di Wangsa Maju, 13 tahun lalu.

Mila atau Norsyarmilla Jirin, 32, yang juga juara pertandingan nyanyian realiti Akademi Fantasia 2007 dibawa berkunjung ke rumah keluarga malang terbabit berikutan lagunya berjudul Pergimu dihasilkan khas buat Allahyarham Nurin Jazlin.

"Alhamdulillah saya diberikan kesempatan untuk merakamkan album pertama. Ketika itu juga, kita dikejutkan dengan tragedi tragis kehilangan adik Nurin Jazlin.

"Kebetulan Datuk Freddie Fernandez yang ketika itu Pengurus Besar Maestro Records mencipta lagu khas buat adik Nurin Jazlin ini yang liriknya ditulis oleh Habsah Hassan.

"Selain berbual dengan adik beradiknya, saya juga berbual dengan ibu bapa arwah. Saya pun masih muda ketika itu, jadi agak terbatas juga cara kita berikan motivasi kepada mereka yang sedang bersedih.

"Apapun, saya harap pihak berkuasa dapat cari keadilan atas apa yang berlaku dan semoga keluarga adik Nurin Jazlin diberikan pembelaan sewajarnya," katanya yang ketika dihubungi berada di Johor Bahru kerana menjayakan persembahan.

Harian Metro hari ini melaporkan kes bunuh Nurin Jazlin Jazimin sentiasa aktif dan tidak pernah ditutup.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang memaklumkan bukti penting dalam kes berkenaan sentiasa berada dalam bank data PDRM.

Media melaporkan Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos 2007.

Mangsa dikatakan dilarikan seorang lelaki menaiki sebuah van putih.

Pada 17 September 2007, polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor sebelum keputusan ujian DNA mengesahkan mangsa adalah Nurin Jazlin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 8:05 PM