LAKARAN wajah suspek yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Nurin Jazlin.
LAKARAN wajah suspek yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Nurin Jazlin.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Rasa seperti diperbodoh-bodohkan. Entah berapa kali ditipu dengan maklumat palsu sepanjang 28 hari penulis mengendalikan liputan kes kehilangan dan pembunuhan kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Kehilangannya yang diculik pada 20 Ogos 2007 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, menggemparkan rakyat seluruh negara walaupun media sosial atau portal berita belum wujud seperti dekad ini.

Kes culik dikaitkan penjahat menaiki van putih itu antara kes pembunuhan kanak-kanak tercatat dalam sejarah hitam negara. Barulah ketika itu masyarakat mengenali penjenayah pedofilia iaitu golongan gila seks terhadap kanak-kanak.

Kisah bermula apabila Nurin Jazlin yang menghidap komplikasi buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang ketika keluar berseorangan untuk membeli sepit rambut di pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen Satu, Wangsa Maju, jam 8 malam.

Susulan itu pelbagai usaha dilakukan polis, media dan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur itu.

Bukan hanya bapa mangsa, Jazimin, 33, malah polis dan wartawan tidak ubah seperti 'orang gila' apabila bergegas ke segenap lokasi didakwa muncul penampakan kanak-kanak menyerupai Nurin Jazlin.

JAZIMIN mengebumikan jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat, 21 September 2007.
JAZIMIN mengebumikan jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat, 21 September 2007.

Penulis masih ingat apabila terpaksa berkejar 'ke sana ke mari' tanpa mengira siang dan malam. Matlamat hanya satu - mahu akhbar ini menjadi media pertama berjaya membongkar dan menemui kanak-kanak malang itu.

Pernah penulis berpeluh mendaki tangga Batu Caves, Gombak dan bukit belukar di Pantai Dalam selepas menerima maklumat kehadiran polis penyiasat di lokasi berkenaan.

Penulis turut mengekori Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Inspektor Hanyan Ramlan (kini Ketua polis Daerah Kemaman, Terengganu) yang berhempas pulas menggerakkan pasukannya mencari Nurin Jazlin.

Ada satu ketika sekitar jam 1 pagi pada 6 September 2007, penulis dihubungi 'sumber' memaklumkan kelibat sebuah van Nissan putih tersadai di kawasan belukar berhampiran tangki air Taman Tenaga, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Petunjuk baharu itu adalah harapan polis dalam usaha menjejaki Nurin Jazlin yang ketika itu hilang diculik memasuki hari ke-16.

Penulis memaksa diri ke lokasi walaupun ketika itu sudah menarik selimut di kamar. Lebih 10 anggota polis dilihat melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan belukar dan tangki air itu selain mendaki bukit berdekatan.

Usaha mencari mangsa yang berlarutan sehingga jam 3 pagi itu menemui jalan buntu berikutan tiada petunjuk Nurin Jazlin ditemui. Malah, polis turut bergegas ke kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Seremban selepas ada pemanggil mendakwa melihat kelibat kanak-kanak persis Nurin dalam tandas.

Namun semua usaha itu hampa. Anak kedua pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman terus gagal ditemui.

Hanya selepas 28 hari operasi pencarian dilakukan, mayat Nurin Jazlin akhirnya ditemui pada pagi 17 September 2007.

Penjenayah gila ini menyumbat mangsa yang bogel dalam beg sukan sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya. Mayat itu kemudian ditemui oleh pemilik kedai itu sebelum diadukan pada polis.

BEG sukan berisi mayat di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.
BEG sukan berisi mayat di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.

Lebih menyayat hati apabila timun dan terung ditemui disumbat dalam kemaluan kanak-kanak itu yang menyebabkan rektumnya pecah. Memang tidak dapat digambarkan seksaan dialami kanak-kanak itu.

Polis kemudian berusaha menjejaki suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. Malangnya kualiti CCTV yang kurang jelas menyukarkan polis untuk mengecam wajah suspek.

Ikhtiar lain dilakukan apabila Polis Bukit Aman menggunakan khidmat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat bagi meningkatkan kualiti visual CCTV itu.

Pada 11 Oktober 2007, satu sidang media khas dihadiri penulis diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Tujuannya bagi berkongsi video penculikan Nurin dengan kualiti yang lebih baik.

Dalam video itu, seorang lelaki dilihat membawa beg sukan berisi mayat mangsa selain rakaman seorang wanita serta tiga lelaki di lokasi mayat ditemui.

Malangnya 'petunjuk' diperoleh itu masih gagal untuk membantu polis mengesan identiti penculik dan pembunuh gila itu sehingga kini.

Namun lebih meruntun jiwa penulis adalah ketika menemani pasangan Jazimin dan Norazian di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mereka hadir untuk melakukan pengecaman mayat kanak-kanak ditemui.

Penulis masih ingat apabila Jazimin dengan yakin menafikan mayat itu sebagai anak perempuannya, Nurin Jazlin. Katanya mayat kanak-kanak itu adalah warga asing kerana tidak memiliki parut suntikan Bacillus Calmette–Guerin (BCG) seperti dimiliki Nurin Jazlin.

Penafian itu mengejutkan ramai pihak hinggakan ada yang menuduh Jazimin sudah tidak waras dan enggan menerima kenyataan.

Polemik identiti mayat itu berakhir apabila hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan ia adalah Nurin Jazlin.

Dengan berat hati, Jazimin dan isteri akhirnya akur. Jenazah itu akhirnya dituntut dari HKL sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat, 21 September 2007.

Turut berada di pusara bersama penulis adalah penganalisis jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim yang banyak memberikan sokongan emosi kepada keluarga mangsa.

Sebak tangisan dan ratapan Jazimin sejurus jenazah selamat disemadikan sempat dirakam lensa jurugambar. Ia menjadi tatapan muka hadapan kebanyakan surat khabar tempatan keesokan harinya.

Selepas kes ini berlaku hampir 14 tahun lalu, penulis berkesempatan menemui semula Jazimin di rumahnya di Air Panas Setapak di sini, baru-baru ini. Tidak banyak yang berubah pada lelaki ini. Setiap sudut dinding rumahnya masih digantung gambar Nurin Jazlin.

Jelas rindunya pada Nurin Jazlin tidak pernah padam. Baginya Nurin Jazlin masih hidup. Jauh di lubuk hatinya yakin mayat yang dikebumikannya sebelum ini bukan anaknya yang hilang itu.

"Fizikal rambut, bentuk gigi dan tiada parut suntikan BCG pada mayat didakwa Nurin Jazlin masih gagal menyakinkan saya bahawa itu adalah anak saya. Namun saya reda dan menganggap jenazah itu sama seperti anak kandung sendiri.

"Apa-apa pun saya berharap siasatan kes ini tidak berakhir begitu sahaja. Pembunuh kanak-kanak ini masih bebas di luar sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 10:31 AM