BERNAMA

Kuala Lumpur: “Hati ibu mana tidak sedih apabila kehilangan anak dengan cara macam itu,” kata Norazian Bistaman, 44, ibu arwah Nurin Jazlin Jazimin yang dibunuh kejam pada 2007 mengenai kematian Noor Amila Edrus Norsham.“

"Saya simpati dengan apa yang menimpa mereka dan berharap mereka bersabar serta tabah dengan ujian Allah ini," katanya.

Mayat Noor Amila Edrus, 5, yang hilang sejak 11 Ogos lalu di Jinjang Utara, ditemui di kawasan semak Kampung Kemansah, Hulu Kelang di sini, tengah hari semalam.

Norazian berkata, Sabtu lalu, dia sempat melawat ibu kanak-kanak itu, Siti Nursharmila Tengku Hanafiah, 46, di Jinjang Utara, selepas mendapat berita mengenai kehilangan kanak-kanak itu untuk memberi semangat.

Namun tidak menyangka nasib yang sama seperti anaknya, Nurin Jazlin yang berusia sembilan tahun ketika hilang, akan menimpa keluarga berkenaan. Nurin Jazlin hilang pada 20 Ogos 2007, selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Hanya pada 17 September 2007, mayat anaknya yang tidak berbaju dipercayai mangsa deraan seksual, ditemui dalam beg pakaian yang ditinggalkan di tangga premis perniagaan tiga tingkat di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya. Mangsa dibunuh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Norazian berkata, dia menerima hakikat Nurin Jazlin sudah tiada dan berharap ibu Noor Amila Edrus serta keluarganya reda dengan pemergian kanak-kanak itu.

Kehilangan Noor Amila Edrus pada malam Khamis lalu, selepas solat Maghrib di surau berhampiran rumahnya dikaitkan dengan lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga mangsa. Lelaki itu yang ditahan, membawa pihak polis ke lokasi penemuan mayat kanak-kanak itu.

Norazian meminta masyarakat mengambil iktibar dengan kehilangan kanak-kanak di negara ini.

"Sesiapa yang dah kena akan serik tetapi yang lain tolong beringat pastikan anak kita nak ke mana-mana, ditemani orang dewasa," katanya.

Norazian berkata sehingga kini beliau masih mengingati dan merindui anak kedua daripada lima beradik yang dipanggil Kak Ngah itu.

"Saya teringin nak mimpi jumpa Kak Ngah... kalau arwah masih ada, dia berusia 17 tahun dan akan menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini," katanya.

Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merekodkan 567 kes kanak-kanak bawah 18 tahun hilang sejak awal Januari sehingga 31 Mei tahun ini dengan 374 kanak-kanak berjaya ditemui semula manakala 193 lagi di seluruh negara, masih hilang dan sedang dikesan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 9:16 PM