NUR Sajat.
NUR Sajat.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan pihak berkuasa Australia bagi mendapatkan pengesahan dakwaan usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kini berada di negara itu.

Nur Sajat sebelum ini ditahan pihak berkuasa Thailand pada 8 September lalu atas kesalahan berkaitan imigresen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, buat masa ini pihaknya tidak dapat mengesahkan keberadaan Nur Sajat sehingga mendapat maklumat daripada kerajaan Australia.

"Kita juga akan menghubungi pihak berkuasa Thailand untuk maklumat lanjut perkara ini," katanya.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand berhubung dengan pihak berkuasa negara itu untuk pengesahan mengenai status Nur Sajat.

Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata, ketika ini tiada maklumat lengkap diterima dan pengesahan lanjut masih sedang diperoleh daripada Imigresen Thailand.

"Kami tengah mengesahkan dengan pihak Imigresen Thailand," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar dilaporkan berkata, pihaknya bersedia memberikan bantuan sebaik mungkin untuk membawa pulang Nur Sajat yang dikehendaki pihak berkuasa negara ini.

Katanya, Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne akan memberikan bantuan kepada agensi berkaitan untuk mengekstradisi Nur Sajat.

Semalam, Nur Sajat menerusi media sosialnya mendakwa sudah berada di Australia dan sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia.

Dia juga mendakwa secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan kerajaan Australia, ketika sesi siaran langsung menerusi laman sosial itu.

Dalam perkongsian bersama pengikutnya itu, Nur Sajat menegaskan dia tidak melarikan diri sebaliknya hanya berhijrah.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Nur Sajat ditahan Imigresen Thailand kira-kira 6 petang, 8 September lalu, kerana memiliki pasport tidak sah sebelum dikatakan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara itu.

Nur Sajat didakwa di Mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibayar seorang warga tempatan dikenali Misha yang didawak terbang ke negara itu bagi urusan berkenaan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.

Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 1:01 PM