GAMBAR Muhammad Sajjad yang dikeluarkan polis. FOTO Ihsan IPD Ampang Jaya.
GAMBAR Muhammad Sajjad yang dikeluarkan polis. FOTO Ihsan IPD Ampang Jaya.
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat masih dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan Sajat yang juga saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 22 Februari ini.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil masih dalam usaha mengesan saksi bagi perbicaraan di Mahkamah Ampang.

"Saksi iaitu Muhammad Sajjad beralamat terakhir di No 2 Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya, Selangor," kata kenyataan itu.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Saksi berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mastura Abdul Basher di talian 018-2053955.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Sajat mengesahkan dirinya kini sudah berada di Australia.

Nur Sajat memaklumkan sudah secara rasmi berhijrah ke negara Kanggaru itu dengan bantuan kerajaan Australia ketika 'live' di media sosial miliknya.

Terdahulu, Sajat ditahan Imigresen Thailand pada 6 petang 8 September tahun lalu, kerana memiliki pasport tidak sah.

Dia kemudian dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara itu.

Dia didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan selain diarah melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.

Ketika berada di Thailand, dia menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 10:34 AM