DATUK Seri Abd Jalil Hassan
DATUK Seri Abd Jalil Hassan
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat, yang ditahan pihak berkuasa Thailand sebelum ini kini berada di Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh mengesahkan sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.

"Saya tiada maklumat mengenai dakwaan itu. Sebelum ini pun, polis ada terima maklumat usahawan berkenaan melarikan diri ke Danga Bay, Johor Bahru (sebelum ditahan di Thailand).

"Namun siasatan mendapati perkara itu tidak benar," katanya kepada Harian Metro, sebentar tadi.

Terdahulu, Nur Sajat menerusi media sosialnya mendakwa sudah berada di Australia.

Usahawan itu memaklumkan sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia, dan secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan kerajaan Australia, ketika sesi siaran langsung menerusi laman sosial itu.

Nur Sajat dalam perkongsian bersama pengikutnya menegaskan tidak melarikan diri sebaliknya hanya berhijrah.

"Kita tak lari, kita berhijrahlah. Tak baik kata kita lari you all (anda semua) yang kata kita lari tak boleh terima hakikatkan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Nur Sajat ditahan Imigresen Thailand kira-kira jam 6 petang pada 8 September lalu, kerana memiliki pasport tidak sah.

Usahawan itu kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.

Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.

Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 9:56 PM