Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Kawalan ketat dilaksana pihak berkuasa dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di semua 28 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pagi ini.

Prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan itu bertujuan mengekang penularan Covid-19, akan dilaksana sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian.

Di pusat penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Bidara, bertempat di Dewan Datuk Kapt (B) Haji Abdul Karim, petugas media juga tidak dibenarkan berada dalam dewan pusat.

Hanya calon, pencadang dan penyokong dibenar masuk ke dewan penamaan, sementara yang lain hanya tunggu di luar pagar dewan.

Sementara itu, keadaan di Pusat Penamaan Calon Dun Lendu di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu di Masjid Tanah terkawal tanpa kehadiran penyokong parti bertanding.

ANGGOTA polis berkawal di hadapan Pusat Penamaan Calon di Dewan Bestari Ayer Keroh hari ini. FOTO Bernama
ANGGOTA polis berkawal di hadapan Pusat Penamaan Calon di Dewan Bestari Ayer Keroh hari ini. FOTO Bernama

Laluan utama masuk ke kawasan dewan juga dikawal ketat anggota polis bagi memastikan kelancaran trafik, selain larangan berhimpun di pekarangan dewan.

Di Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar, iaitu bagi pusat penamaan calon bagi Dun Asahan, polis juga mengawal di sepanjang laluan menuju ke arah dewan, selain tiada kelibat penyokong-penyokong parti berhimpun.

Hari pengundian bagi PRN Melaka ditetapkan pada 20 November ini, manakala 8 November sebagai hari penamaan calon dan tarikh mengundi awal pula pada 16 November.

Seramai 495,196 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 (anggota tentera dan pasangan), 2,349 (anggota polis) dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara layak untuk mengundi dalam PRN ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 9:38 AM