Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Sudah ada pengikut di luar negara. Itu perkembangan terbaru ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang dikesan mengumpul pengikut dari negara nusantara untuk menyertai dakyah kumpulan terbabit.

Sumber keselamatan memaklumkan kepada Skuad Khas Harian Metro bahawa terdapat sekitar 2,000 hingga 3,000 pengikut PMYT di dua negara jiran iaitu Indonesia dan Brunei.

Menurutnya, kumpulan berkenaan sengaja menggunakan elemen 'semangat serumpun' atau Nusantara supaya mempengaruhi pengikut daripada negara lain supaya terpengaruh dengan setiap dakyah ajaran itu.

"Kita anggarkan pengikut luar negara kumpulan ini sekitar 2,000 hingga 3,000 orang dan ia anggaran yang sama untuk pengikut tempatan.

"Itu adalah berdasarkan kepada pemantauan di media sosial, kita tiada angka sebenar kerana kita percaya ada dalam kalangan mereka yang menggunakan pelbagai identiti untuk mengelirukan pihak berkuasa," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sumber itu berkata, medium penyebaran mereka adalah menggunakan media sosial seperti video di Facebook, YouTube dan kumpulan Telegram.

Katanya, ini adalah kaedah mereka untuk menyampaikan doktrin ajaran terbabit.

"Kita sudah pun mengesan sebanyak 22 kumpulan Telegram diwujudkan sebagai medium penyampaian termasuk untuk mengeluarkan arahan sesama pengikut.

"Pemantauan yang dilaksanakan juga mendapati tidak semua kumpulan Telegram berkenaan dianggotai oleh ketua mereka iaitu dikenali dengan gelaran Sittah Annur tetapi mereka saling berkait.

"Kebiasaannya, mereka akan melantik seorang ketua dalam kumpulan Telegram berkenaan dan ia mengikut lokasi pengikut berkenaan dan kami juga tidak tolak kemungkinan ada lebih banyak lagi kumpulan Telegram seumpama ini," katanya.

Katanya, pelan tindakan kumpulan ini adalah membabitkan perpindahan pengikut daripada negara jiran yang diarahkan untuk memasuki negara ini dan berkumpul bersama pengikut tempatan di Semenanjung.

Bermula 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Lebih membimbangkan, perancangan teliti ala tentera dirancang kumpulan itu membabitkan pergerakan ke 29 lokasi di seluruh negara sebaik berlakunya serangan di Sabah.

Susulan pendedahan Harian Metro, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis di seluruh negara mendesak pihak berkuasa agama dan PDRM mengambil tindakan segera terhadap kumpulan berkenaan yang disifatkan mengganggu ketenteraman awam selain menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Harian Metro difahamkan setakat ini terdapat 13 laporan polis dibuat di seluruh negara selain pelbagai pihak berkuasa agama negeri termasuk Jakim dan Mufti menyifatkan ajaran ini terpesong daripada Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 12:00 PM