Sittah Annur, 39, Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) ketika ditahan polis. FOTO IHSAN PDRM
Sittah Annur, 39, Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) ketika ditahan polis. FOTO IHSAN PDRM
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) adalah haram dan mengancam keselamatan negara.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Muzakarah Kebangsaan (MFK) Mengenai Hal-Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali keempat yang diadakan semalam.

Sumber memaklumkan bahawa mesyuarat itu yang dihadiri mufti negeri secara maya mengambil keputusan berkenaan selepas penelitian ajaran berkenaan dibuat.

"Pada hari ini (semalam) kita memutuskan ajaran PMYT diketuai wanita dengan gelaran Sittah Annur jelas mempunyai unsur penyelewengan akidah iaitu sesat dan mengancam keselamatan negara.

"Hasil keputusan yang dicapai pada hari ini (semalam) akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dalam masa terdekat untuk tujuan pewartaan kelak," katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman ketika dihubungi menyatakan mesyuarat disertainya secara maya itu dihadiri mufti negeri dan MFK memaklumkan mengenai ajaran berkenaan.

"Dalam sesi mesyuarat tadi (semalam), MFK memaklumkan ajaran berkenaan ada elemen jelas menyimpang daripada ajaran Islam serta mampu mengancam kedudukan keselamatan negara.

"Setakat ini, di negeri saya (Pahang), tiada laporan berhubung gerakan ajaran itu namun jika ada tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan memandangkan keputusan fatwa ini terletak kepada negeri-negeri," katanya.

Harian Metro difahamkan, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah antara yang turut serta dalam MFK berkenaan.

Bermula 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan, seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Lebih membimbangkan, perancangan teliti ala tentera dirancang kumpulan itu membabitkan pergerakan ke 29 lokasi di seluruh negara sebaik berlakunya serangan di Sabah.

Susulan pendedahan Harian Metro, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis di seluruh negara mendesak pihak berkuasa agama dan PDRM mengambil tindakan segera terhadap kumpulan berkenaan yang disifatkan mengganggu ketenteraman awam selain menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Harian Metro difahamkan, setakat ini terdapat 19 laporan polis dibuat di seluruh negara selain pelbagai pihak berkuasa agama negeri termasuk Jakim dan Mufti menyifatkan ajaran ini terpesong daripada Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 12:00 PM