BOTOL berisi air kencing yang diatur gelandangan yang berkeliaran di Pasar Seni di sini. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
BOTOL berisi air kencing yang diatur gelandangan yang berkeliaran di Pasar Seni di sini. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bau hancing pekat menusuk ke rongga hidung sebaik sahaja penulis melintasi lorong Lebuh Pudu di sini. Dahulunya lokasi ini dilatari landskap indah. Menarik dan penuh warna.

Lorong dilatari deretan lukisan mural itu hakikatnya cukup menarik apabila mengetengahkan seni bina, reka bentuk dan budaya Malaysia khusus untuk dinikmati warga tempatan dan pelancong asing.

Namun kehadiran ratusan gelandangan yang 'menjajah' kawasan sekitar menyebabkan lokasi berhampiran Pasar Seni ini tidak ubah seperti 'jamban setinggan' dipenuhi tompokan tahi manusia.

Mata penulis mengekori kelibat seorang gelandangan lelaki berusia 40-an yang mundar mandir di lorong sunyi itu. Dia berdiri di balik tembok sebelum membuka zip seluarnya tanpa segan silu.

Corong botol air mineral kosong kemudian dihalakan pada kemaluan. Air kencing kemudian 'dipancut' terus ke dalam botol 500 milimeter itu.

Sebaik selesai melepaskan 'hajat', botol berisi air kencing kuning pekat itu kemudian diletakkan di bahu longkang. Sebaris dengan deretan botol-botol lain berisi air kencing.

Tidak pasti apa tujuannya. Adakah mahu dijadikan pameran awam atau koleksi? Yang nyata perbuatan itu mencacatkan lagi pemandangan lorong belakang yang pernah dinaik taraf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd.

Malah, di satu sudut lain, tompokan najis manusia dilihat bersepah di atas kaki lima. Cukup jijik dan meloyakan tekak.

Mata penulis turut sempat memerhati gerak geri seorang lagi gelandangan berdiri di celah pokok renek ditanam DBKL menghadap Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee di sini.

PEK makanan hasil sumbangan NGO yang dibuang gelandangan di kaki lima. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PEK makanan hasil sumbangan NGO yang dibuang gelandangan di kaki lima. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Tanpa rasa bersalah, pokok hiasan itu kemudian 'disiram' dengan air kencing sebelum lelaki berusia 30-an itu beredar dan menyambung lena di bangku kayu berhampiran.

Ternyata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak Jun lalu, menyebabkan ibu kota 'mati' ini dikuasai kumpulan gelandangan pelbagai bangsa dan usia. Rata-rata premis perniagaan yang tidak dapat beroperasi kini menjadi lokasi gelandangan penumpang teduh.

Bukan hanya tidur di kaki lima bangunan atau bangku awam malah ada antara mereka turut mengusung bersama tilam bujang yang diletakkan di tepi bangunan. Kelihatan tidak ubah seperti rumah 'pondok-pondok' apabila longgokan pakaian, beg dan bungkusan makanan disusun di tepi tilam berkenaan.

Tidak jauh dari situ, beberapa gelandangan dilihat bersandar sambil termenung kosong. Masing-masing sudah 'mewartakan' petak kaki lima itu sebagai jajahan masing-masing.

Di pojok lain, sekitar 30 gelandangan berbaris panjang menunggu giliran mendapatkan khidmat 'salon bergerak' percuma disediakan.

Seorang wanita lengkap membawa peralatan menggunting rambut dan memakai pelitup muka dilihat fokus menyisir dan menggunting rambut seorang demi seorang gelandangan.

Murni sungguh hati wanita itu yang melayan penuh sabar. Tidak kira gelandangan itu selekeh atau busuk, kesemuanya diberi layanan sama rata.

Kira-kira 30 minit kemudian, muncul sebuah van putih dipercayai milik sebuah pertubuhan kebajikan. Pintu belakang van lantas dibuka beberapa lelaki dan wanita sebelum ratusan pek nasi ayam diagihkan kepada berpuluh gelandangan yang mengerumuni kenderaan itu.

ANTARA kumpulan gelandangan yang dilihat berpeleseran di sekitar ibu kota. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ANTARA kumpulan gelandangan yang dilihat berpeleseran di sekitar ibu kota. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

'Beratur-beratur! semua orang kena pakai mask (pelitup muka)," ujar seorang lelaki sambil sibuk menghulur bungkusan nasi dan air mineral ke tangan gelandangan.

Tidak sampai seminit, hampir 100 gelandangan menyerbu dari segenap arah dan simpang jalan. Semua mereka memastikan mereka tidak terlepas juadah makan tengah hari.

Turut kelihatan beberapa lelaki menunggang motosikal dan turut beratur mengambil makanan percuma itu. Mereka pastinya bukan golongan gelandangan, tetapi kalangan yang terkesan dengan PKP atau lebih tepat golongan miskin bandar.

Penulis melihat gelandangan terbabit segera membuka bungkusan dan mengisi perut. Lahap dan cukup berselera. Namun agak menjengkelkan apabila beratus pek plastik itu dicampakkan di merata tempat. Malah nasi yang tidak habis dijamah, berselerakan di atas jalan dan bangku rehat.

Amat pengotor dan menyakitkan mata. Memang tiada sivik!.

"Abang jenguk sini, singgah waktu malam!, lagi ramai gelandangan boleh abang jumpa. Dulu mereka hanya ramai berkumpul di Jalan TAR (Tuanku Abdul Rahman) dan Masjid India namun kini melarat hingga ke sini," ujar seorang pekerja kedai serbaneka di kawasan itu.

Dia berkata, bilangan gelandangan yang kian ramai itu menghairankannya apatah lagi kebanyakannya golongan muda dan sihat.

"Abang tengok sendiri, ramai antara mereka orang muda kuat. Tapi buang masa melepak, tidur dan tunggu makanan percuma sahaja. Mereka biasanya akan bawa beg sekolah berisi pakaian dan berpindah randah.

"Ini bukan salah kerajaan semata-mata, tapi ramai yang tak mahu ubah nasib diri. Sengaja pilih jalan hidup begini. Kalau abang lihat, warga asing pun ada yang tumpang sekaki jadi gelandangan..apa nak jadi negara kita?" katanya.

SERAMAI 332  gelandangan  diselamatkan antara Januari hingga Julai lalu. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
SERAMAI 332 gelandangan diselamatkan antara Januari hingga Julai lalu. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

1,079 gelandangan dibantu KWP, DBKL sepanjang pandemik Covid-19

Kuala Lumpur: Bukan sedikit bilangannya, tetapi seramai 1,079 gelandangan berjaya diselamatkan dan diberi bantuan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Ketua Setiausaha KWP Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, seramai 747 gelandangan membabitkan 459 lelaki dan 74 wanita diselamatkan sepanjang tahun lalu.

Ini diikuti seramai 332 membabitkan 309 gelandangan lelaki dan 23 gelandangan wanita diselamatkan antara Januari hingga Julai lalu.

Beliau berkata, antara punca utama menyumbang kepada pengurangan dalam jumlah gelandangan di Kuala Lumpur adalah langkah proaktif diambil Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang berusaha mencari jalan penyelesaian lebih holistik bagi menyelesaikan masalah gelandangan di ibu kota ini.

"Beliau (Annuar) sentiasa prihatin dengan permasalahan dihadapi oleh golongan gelandangan, bertindak mencarikan pelbagai ruang dan peluang pekerjaan untuk membantu golongan gelandangan.

"Ini bertujuan supaya gelandangan dapat keluar daripada kehidupan silam dan menjadi seorang usahawan atau insan yang berjaya.

"Antaranya adalah memberikan peluang pekerjaan di kilang pembuatan sarung tangan Top Glove Corporation Berhad dan aktiviti pertanian kebun bandar yang dijalankan di Anjung Kelana," katanya kepada Harian Metro berkenaan isu gelandangan di ibu negara.

Baru-baru ini katanya, Menteri Wilayah Persekutuan juga memperkenalkan inisiatif tambahan melalui Rumah Prihatin untuk menyelaras penyerahan bantuan makanan bermasak yang berkualiti dan sihat kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Sukarelawan Prihatin (PriVo) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

"Antara punca lain yang menyumbang kepada pengurangan dalam bilangan gelandangan di Kuala Lumpur pada 2021 adalah terdapat juga gelandangan yang membuat pengeluaran skim i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan balik ke kampung halaman mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hal ini kerana, selain gelandangan tegar, sebahagian daripada mereka yang diselamatkan juga adalah individu yang kehilangan pekerjaan berikutan pelaksanaan PKP," katanya.

Bulan lalu, KWP melancarkan Rumah Prihatin@Grand Seasons, membabitkan pembukaan Dapur Prihatin iaitu dapur berpusat dalam menyediakan 1,000 pek makanan setiap hari untuk diedarkan kepada golongan yang tidak berkemampuan, barisan hadapan, gelandangan serta fakir miskin.

Selain itu, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin turut diperkenalkan dengan mewujudkan khidmat kaunseling bersama kaunselor berdaftar yang dijamin kerahsiaannya.

KWP turut memperkenalkan Khidmat Vaksinasi Prihatin iaitu perkhidmatan vaksinasi untuk golongan OKU, gelandangan, penjaja dan juga kepada mereka yang memerlukan bantuan khas dalam usaha memperkasakan lagi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Difahamkan 252 gelandangan di bawah kawalan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Anjung Singgah dan Anjung Kelana sudah selesai menerima kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 12:01 PM