GUILHERME (kiri) Liridon dan Luqman Hakim. FOTO Arkib NSTP, Facebook Liridon Krasniqi dan Facebook KV Kortrijk
GUILHERME (kiri) Liridon dan Luqman Hakim. FOTO Arkib NSTP, Facebook Liridon Krasniqi dan Facebook KV Kortrijk
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai bermula 3 Jun ini menyaksikan skuad Harimau Malaya terpaksa menggunakan gandingan penyerang baharu pada saingan itu nanti.

Ia susulan masalah kecederaan dialami penyerang negara, Shahrel Fikri Fauzi di pergelangan kaki atau dikenali dengan kecederaan fibula fracture baru-baru ini dan terpaksa diketepikan oleh kem negara.

Rakan segandingan Shahrel dalam skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad pula dilihat masih belum mencapai tahap terbaik apabila hanya sekadar memanaskan bangku simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super musim ini selain beberapa kali diturunkan beraksi di divisyen dua bersama JDT II di Liga Perdana.

Manakala seorang lagi penyerang tempatan iaitu Norshahrul Idlan Talaha pula mungkin sukar untuk bermain sepenuh masa selama 90 minit lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa ekoran faktor usianya yang kini menjangkau 35 tahun.

Lantas, skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain apabila terpaksa menagih bisa penyerang baharu untuk merobek gawang lawan sekaligus memastikan kemenangan buat pasukan negara.

Kini harapan itu bakal digalas tiga ayam tambatan terdiri daripada dua tonggak naturalisasi, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi selain bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Biarpun tiga gandingan ini tidak pernah diuji di peringkat antarabangsa dengan masing-masing baru pertama kali dipanggil oleh skuad negara, pengendali pasukan Tan Cheng Hoe yakin trio berkenaan mampu membantu pasukan di Dubai nanti.

Katanya, pengalaman luas dua pemain naturalisasi terbabit yang pernah beraksi di liga beberapa buah negara serta pengalaman Luqman bermain di Belgium, diharapkan dapat mengisi ketiadaan Shahrel di bahagian depan.

"Shahrel terpaksa berehat lama dan aksi pemain lain kita selalu pantau. Tapi kita juga ada pilihan lain seperti Liridon, De Paula dan Luqman yang boleh bermain di bahagian penyerang.

"Pada saya kita kena positif dan beri peluang buat mereka untuk buktikan kebolehan. Paling penting kita fokus pada persiapan dan cuba berikan sepenuh komitmen dalam aksi sebenar nanti," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe menyifatkan dua aksi pemanas badan menentang Kuwait pada 23 Mei dan Bahrain 28 Mei sebagai percaturan terbaik bagi menilai tahap kemampuan sebenar pasukannya sebelum cabaran sebenar di UAE kelak.

"Kuwait dan Bahrain menghuni ranking tinggi dan pasukan yang bagus untuk kita bertemu nanti. Saya rasa kalau tidak bermain sebelum perlawanan sebenar mungkin ada masalah dari segi kecergasan dan diharapkan aksi persahabatan berjalan lancar," katanya.

Skuad negara akan menentang tuan rumah UAE pada 3 Jun, sebelum berdepan Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan gelaran juara Kumpulan G, bagi memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 6:30 AM