Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Mereka bukan lanun bersenjata api. Jauh sekali merancang merampas kapal dagang atau menculik kru untuk mendapatkan wang tebusan.

Sebaliknya mereka adalah golongan pencuri tegar atau toyol laut yang berupaya menyusup masuk ke atas dek kapal di tengah samudera tanpa mampu dihidu.

Matlamatnya hanya satu iaitu menyusup naik ke atas kapal dagang atau kargo terutama pada waktu malam untuk mencuri serta melarikan barang berharga di atas kapal berkenaan.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima 26 laporan kegiatan pencuri laut atau petty thief sepanjang 2019 dan 2020.

Menurutnya, kumpulan penjenayah petty thief adalah kumpulan yang arif mengendali bot serta memiliki pengetahuan berkaitan kawasan perairan di lokasi mereka bergiat aktif.

"Penjenayah ini biasanya memerlukan modal dan kemahiran melakukan jenayah berikutan aktiviti itu memerlukan kos dari segi peralatan, minyak dan bot laju.

"Mereka bukan penjenayah profesional, tetapi aktif mencuri berkumpulan. Mereka cari untung dengan mencuri besi, peralatan atau kelengkapan yang mudah dilarikan dari atas kapal serta barangan milik anak kapal.

"Setakat ini, laporan diterima mendapati kumpulan ini hanya bersenjatakan pisau dan tidak membawa senjata api," katanya,

Nurul Hizam berkata, kumpulan penjenayah ini dikesan menggunakan modus operandi dengan menyasarkan kapal yang bergerak perlahan di lautan.

TOYOL laut dikesan bersenjatakan pisau dan tidak membawa sebarang senjata api.
TOYOL laut dikesan bersenjatakan pisau dan tidak membawa sebarang senjata api.

"Kapal yang mempunyai freeboard rendah atau jarak dari garis air ke paras dek atas kapal yang mudah dinaiki penjenayah.

"Selain itu kapal yang bersauh dan kapal tunda membawa muatan turut menjadi sasaran mereka.

"Kebanyakan laporan diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor mendapati kecurian dilakukan kumpulan ini berlaku antara jam 12 tengah malam hingga jam 6 pagi. Waktu ini dipilih berikutan kebanyakan kru kapal diceroboh sedang berehat," katanya.

Beliau berkata, laporan diterima mendapati penjenayah terbabit kebiasaannya mencuri barangan berasaskan besi yang boleh dijual, peralatan membaiki kapal dan barang berharga milik kru kapal.

"Biasanya mereka melakukan aktiviti ini dengan pantas untuk mengelak dikesan kru kapal," katanya.

Menurutnya, kawasan perairan negara terutama terletak di timur Johor iaitu laluan sibuk kapal dagang ke Laut China Selatan menjadi sasaran kumpulan penjenayah ini.

"Besar kemungkinan ia membabitkan penjenayah dari negara jiran kerana kedudukan pulau terletak berhampiran lokasi kejadian. Ini memudahkan mereka melarikan diri ke Pulau Bintan, Pulau Batam, Pulau Mapur dan pulau lain," katanya.

TIMUR Johor iaitu laluan sibuk kapal dagang ke Laut China Selatan menjadi sasaran kumpulan penjenayah.
TIMUR Johor iaitu laluan sibuk kapal dagang ke Laut China Selatan menjadi sasaran kumpulan penjenayah.

Operasi Todak kekang jenayah toyol laut

Operasi khas dipanggil Op Todak dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor berjaya mengekang dan menghalang kegiatan toyol laut berasal dari negara jiran.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya melaksanakan Op Todak bermula 7 Disember tahun lalu bagi membasmi kes kecurian atau petty theft secara berterusan di laut.

Menurutnya, langkah proaktif itu disifatkan berhasil apabila tiada lagi aduan cubaan kecurian berlaku di perairan negeri Johor dalam tempoh terdekat.

"Jika ada sekalipun, kes pencuri di laut ini berlaku di perairan antarabangsa atau membabitkan lokasi di perairan negara jiran.

"Selain itu Op Benteng diaktifkan sejak Mei lalu di bawah National Task Force (NTF) bertujuan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara kita turut berhasil mengurangkan jenayah di laut," katanya.

Menurutnya, APMM Johor turut menjalankan operasi Op Kuda Laut bagi mengekang pencerobohan nelayan asing ke negara ini.

"Tugas ini mencabar berikutan zon maritim Malaysia ada keluasan lebih dua kali ganda keluasan daratan negara," katanya.

Beliau berkata, APMM Johor dilengkapi 11 kapal dan 22 bot untuk menjaga keseluruhan perairan Johor.

"APMM Johor sentiasa bersedia melaksanakan operasi bagi menjaga kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terutama di perairan negeri Johor.

"Di samping itu Maritim Negeri Johor bekerjasama erat dengan agensi penguat kuasa lain," katanya.

Nurul Hizam berkata, antara kejayaan dicapai pihaknya melalui operasi Op Jangkar Haram bermula 24 Mac 2021 sehingga ke hari ini.

"Sebanyak 38 kapal dagang ditahan atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran. Keseluruhan tangkapan kapal dagang dilakukan APMM adalah 56 buah sejak Januari lalu.

"Malah sejak Januari lalu, APMM Johor menahan 27 Pati lelaki. Kejayaan ini dicapai hasil komitmen pegawai dan anggota APMM yang mahir bagi kes-kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 berikutan perairan negeri Johor sendiri persinggahan dan laluan kapal dagang yang melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan," katanya.

Difahamkan APMM berperanan dalam mengurangkan kadar jenayah lanun 16 peratus sepanjang penubuhannya serta memikul tanggungjawab menjaga keamanan perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 12:00 PM