KAPAL berkenaan. FOTO Ihsan APMM
KAPAL berkenaan. FOTO Ihsan APMM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah lagi kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, dekat Kota Tinggi, semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, berikutan kejayaan Op Jangkar Haram minggu lalu, APMM Johor meneruskan lagi operasi dengan memantau rapat aktiviti berlabuh tanpa kebenaran dan menahan sebuah lagi kapal tangki pada kedudukan 12.6 batu nautika di timur Tanjung Penawar, 2.45 petang semalam.

"Pemeriksaan mendapati kapal tangki yang berdaftar di Torre Del Greco, Itali, itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut.

"Master dan Chief Officer kapal berkenaan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tangkapan itu adalah tangkapan ke-19 sejak Op Jangkar Haram dilaksanakan sejak 24 Mac lalu dan jumlah keseluruhan penahanan tahun ini sahaja adalah sebanyak 37 kapal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Hizam berkata, APMM Malaysia amat serius dan akan terus mempergiat usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran ini.

"APMM Malaysia juga menasihatkan kepada semua ejen kapal dan juga komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

"Sebarang jenayah dan kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil oleh APMM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 8:45 AM