Kuala Lumpur: Pemilik kapal dagang yang membawa muatan berharga perlu melengkapkan kapal mereka dengan meriam air (water cannon) sebagai langkah keselamatan terutama ketika melalui perairan berisiko tinggi.

Penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim berkata, perkara itu perlu berikutan kapal dagang yang membawa barangan bernilai berisiko untuk dirompak dan ditawan penjenayah.

“Pemilik kapal juga perlu mempersiapkan kru untuk mengendalikan meriam air sebagai langkah bagi mengelak kapal diceroboh penjenayah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai sekumpulan lanun yang menawan kapal MT Orkim Harmony berdekatan Tanjung Sedili, 11 Jun lalu sebelum dibebaskan Khamis lalu.

Kapal tangki milik Malaysia itu mengangkut kargo minyak RON 95 milik PETRONAS bernilai RM21 juta yang dirampas sekumpulan lelaki di perairan Johor dan ditemui di perairan Kemboja.

Katanya, seperti di negara lain setiap kapal dagang memang mempunyai meriam air sebagai langkah berjaga-jaga.

“Cadangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk meletakkan petugas khas di kapal dagang dilihat baik tetapi perlu diperhalusi lagi.

“Apa yang penting kini pemilik kapal mungkin perlu memainkan peranan selain menyediakan petugas khas hanya di kawasan perairan yang berisiko tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, statistik APMM menunjukkan perairan Johor menjadi lokasi tumpuan lanun sejak 2013 hingga kini.

“Sebanyak 18 kes lanun dilaporkan sekitar perairan Johor termasuk kes terbaru membabitkan kapal tangki Orkim Harmony. Sejak dua tahun lalu, enam kes rampasan kapal direkodkan di perairan pantai timur.

“Siasatan mendapati rompakan yang berlaku kebanyakan membabitkan lanun dari Indonesia. Satu cubaan rompakan di perairan Laut China Selatan berjaya dipatahkan pada 29 Januari lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:43 AM