KANAK-kanak OKU berusia enam tahun dibuang di terusan dipenuhi buaya selepas dianggap membebankan. FOTO Agensi/Gambar hiasan
KANAK-kanak OKU berusia enam tahun dibuang di terusan dipenuhi buaya selepas dianggap membebankan. FOTO Agensi/Gambar hiasan
Agensi

New Delhi: Seorang wanita di selatan India, ditahan kerana didakwa membuang anak lelakinya yang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun ke dalam terusan dipenuhi buaya selepas bertengkar dengan suaminya, kata polis.

The Independent yang memetik media tempatan melaporkan mayat budak lelaki mengalami masalah pendengaran dan pertuturan itu ditemukan dalam keadaan berkecai di terusan di daerah Uttara Kannada di negeri Karnataka pada Ahad.

Pegawai polis, Inspektor Krishna Barakeri berkata kepada Hindustan Times, ibu budak itu, Savitri, 32, menyalahkan suami Ravi Kumar, 36, kerana memaksanya membuang anak mereka di terusan berkenaan.

"Suaminya menganggap anak mereka sebagai beban dan mereka sering bergaduh mengenainya.

"Selepas pertengkaran yang memuncak berhubung perkara sama pada malam Sabtu, Savitri didakwa membuang anaknya ke dalam terusan yang mengalir ke Sungai Kali an dipenuhi buaya sekitar jam 9 malam," katanya.

Menurutnya, Savitri mendakwa suaminya menyeksa mentalnya dan menyuruhnya membuang anak mereka ke dalam terusan dipenuhi buaya itu.

"Ketika disoal siasat Savitri berkata: 'Suami saya bertanggungjawab. Dia selalu berkata biarkan anak lelaki itu mati, yang dia lakukan hanyalah makan. Biarkan dia mati.

"Suami saya kerap berkata demikian, berapa banyak seksaan yang anak saya boleh tahan? Di mana saya akan pergi untuk berkongsi kesakitan saya," katanya memetik rakaman percakapan kepada polis.

Jiran pasangan itu menghubungi talian kecemasan dan pihak polis menghantar penyelam untuk mencari kanak-kanak OKU itu.

Tetapi operasi mencari terpaksa ditangguhkan sehingga keesokannya kerana hari sudah gelap.

"Cebisan mayat budak lelaki itu ditemui di rahang buaya dan sudah diambil selepas buaya itu ditangkap," kata polis.

Mangsa yang mati dalam keadaan mengerikan itu mengalami kecederaan parah dengan kesan gigitan di pelbagai anggota badan, malah lengan kanannya hilang.

Savitri, yang bekerja sebagai pembantu rumah, dan suaminya, Ravi seorang tukang ukiran batu sudah ditahan atas tuduhan membunuh, kata polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 2:16 PM