ADAM Corrie terkenang pengalaman pertama mula berpuasa ketika zaman kanak-kanak didorong rakan-rakan sekolah.
ADAM Corrie terkenang pengalaman pertama mula berpuasa ketika zaman kanak-kanak didorong rakan-rakan sekolah.
Norhayati Nordin

Meskipun sudah 16 tahun memeluk Islam, namun pelakon, Adam Corrie masih mengenang pengalaman pertamanya mula berpuasa di bulan Ramadan.

Adam Corrie, 55, berkata, dia mula belajar puasa ketika kanak-kanak dan berusia 11 tahun. Jelasnya, dia tergerak hati hendak berpuasa apabila melihat rakan-rakannya berbangsa Melayu menunaikan ibadah itu.

"Saya membesar dalam kawasan yang dikelilingi masyarakat Melayu di Pulau Pinang. Jadi, apabila Ramadan, saya dan keluarga sudah memahami bagaimana keadaannya serta kami sangat menghormati bulan mulia ini.

"Malah, kawan-kawan di sekolah juga sangat menyokong selepas mereka tahu hasrat saya nak berpuasa. Ketika itu cara saya puasa hanya menahan diri daripada makan dan minum tanpa tahu kena bersahur serta membaca niat," katanya.

Menurut Adam Corrie, dia juga tidak memberitahu ibu bapanya bahawa berpuasa ketika itu. Katanya lagi, cubaan berpuasa seterusnya dilakukan ketika remaja pada usia belasan tahun selepas berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Walaupun tinggal di ibu kota, rezeki saya masih dikelilingi rakan-rakan Melayu yang begitu memberi sokongan apabila saya ingin berpuasa. Saya juga belajar bangun pagi sebelum Subuh untuk bersahur.

ADAM Corrie peluk Islam pada 2007.
ADAM Corrie peluk Islam pada 2007.

"Apa pun paling seronok adalah pengalaman saya ke bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka. Saya pernah membawa RM400 ke bazar untuk membeli juadah berbuka memandangkan sudah seharian tidak makan dan minum.

"Saya bimbang tidak cukup wang kalau nak membeli pelbagai makanan. Namun, rakan saya menegur dan hanya memberikan RM30 untuk membeli juadah berbuka, sementara baki wang saya disimpannya.

"Memang tak perlu bawa wang banyak pun sampai ratusan untuk ke bazar membeli makanan. Tapi, biasalah saya baru mula berpuasa dan tahan lapar pun sudah lama. Jadi, macam-macam fikir nak beli untuk makan," katanya.

Adam Corrie berkata, ia kenangan indah yang tak dapat dilupakannya hingga kini. Katanya, kalau tiba-tiba teringat semula memang ketawa. Apa pun, dia bersyukur sudah memeluk Islam dan Alhamdulillah Allah masih memberinya rezeki bertemu Ramadan lagi.

Terdahulu, Adam Corrie nekad memeluk Islam ketika berusia 39 tahun pada 13 Julai 2007 selepas mendapat petunjuk dalam mimpi sebagaimana yang didoakannya kepada Allah kerana menginginkan pegangan kehidupan yang baik.

Adam Corrie yang kini berniaga selain berlakon, dipertemukan jodoh dengan wanita pilihan, Fazima Fuad pada 2008. Menerusi perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Fateh Lee.

Walaupun banyak melakonkan watak antagonis dalam drama dan filem dibintanginya sebelum ini, Adam Corrie pernah dinobatkan anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor pada 2017 menerusi kategori Saudara Kita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 6:49 AM