RAZARUDDIN
RAZARUDDIN
Oleh Hadzlan Hassan

Kuala Lumpur: Selepas selesai pelantikan Ketua Polis Negara yang menyaksikan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menerajui Bukit Aman 4 Mei lalu, kini kerusi nombor dua pula menjadi tanda tanya.

Yang pasti, pelantikan yang bakal dibuat kelak akan menutup mulut banyak pihak untuk mengaitkan individu berkaitan dengan orang itu atau orang ini kerana masing-masing mempunyai kelayakan tersendiri.

Jika sebelum ini, tiga nama menjadi sebutan dalam kalangan media namun kini hanya dua nama menjadi bualan.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Datuk Zamri Yahya, Pengarah Pengurusan Datuk Ramli Din serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Razarudin Husain disebut-sebut antara individu bakal mengisi kekosongan itu.

Bagaimanapun, Zamri dan Ramli kini sudah bertukar kerusi iaitu masing-masing ke Cawangan Khas dan Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti menyebabkan kedua-dua nama berkenaan tidak lagi tersenarai.

Jika dilihat atas kertas, Ramli Din dan Razaruddin memiliki kelayakan daripada segi tugas dan senioriti dan satu lagi nama yang tidak tersenarai sebelum ini ialah Datuk Seri Mazlan Lazim yang memiliki kriteria sama.

MAZLAN
MAZLAN

Ketiga-tiganya dikatakan 'skuad mate' ketika melangkah masuk menyarung uniform Sang Saka Biru dan kini hanya Razarudin atau lebih dikenali sebagai Razo serta Mazlan sebenarnya memiliki kredibiliti dan potensi lebih besar.

Walaupun peluang kedua-dua pegawai berkenaan untuk mengisi kerusi nombor dua pasukan itu sama rata, peluang Mazlan dikatakan 99.9 peratus berdasarkan pengalamannya.

Mazlan yang akan bersara hujung tahun ini pernah menjawat Timbalan Ketua Polis Kelantan sebelum dilantik mengetuai kontinjen itu seterusnya ke Bukit Aman selaku Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dan kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi.

Razaruddin juga tidak kurang hebatnya namun kecemerlangan beliau dalam cawangan itu mungkin masih ditagih dalam usaha mengembalikan maruah dan integriti pasukan selain tempoh perkhidmatannya yang masih panjang.

Pergerakan pegawai tinggi berkenaan pastinya mengundang pergerakan pegawai kanan lain hinggakan ada antara mereka kini dilaporkan mula mencari populariti di media sosial, sekali gus turut mencuri tumpuan pengurusan yang tetap memilih pegawai berintegriti dan bukannya populariti untuk sebarang urusan rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 7:00 AM