GAMBAR hiasan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
GAMBAR hiasan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan kes di bawah 2,000 kes selama seminggu berturut-turut dengan 1,575 kes baharu dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan 1,568 kes tempatan iaitu 1,269 warganegara dan 299 bukan warganegara dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 320,939 kes.

Beliau berkata, sejumlah 2,042 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kes sembuh keseluruhan 302,662 kes.

"Selangor melaporkan kes baharu harian tertinggi iaitu 751 kes termasuk 694 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Sarawak sebanyak 173 kes dan Johor sebanyak 135 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiga kes kematian dicatatkan pada hari ini dengan jumlah keseluruhan kematian 1,203 kes.

Menurutnya, kes kematian itu membabitkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

Katanya, sebanyak 147 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 67 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 6:39 PM