GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sejumlah 1,448 kes positif baharu Covid-19 direkodkan, hari ini, sekali gus menjadikan hari kelima berturut-turut di bawah 2,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif itu membabitkan 1,438 kes tempatan dan 10 import dengan jumlah keseluruhan kes 317,717.

Beliau berkata, kes sembuh pula sebanyak 2,147 kes dengan jumlah kes sembuh keseluruhan 298,516 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 561 kes membabitkan 484 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Johor sebanyak 273 kes dan Sarawak sebanyak 199 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lima kes kematian dicatatkan pada hari ini membabitkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Johor, Melaka, dan Sabah.

Menurutnya, semua kes kematian itu membabitkan warganegara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

Katanya, sebanyak 151 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 72 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:29 PM