KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,280 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini, iaitu kes baharu terendah bagi tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan 1,278 kes tempatan dan dua kes import menjadikan jumlah kumilitif kes positif sebanyak 316,269.

Beliau berkata, sebanyak 2,345 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 296,379 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 464 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 368 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Johor sebanyak 165 kes dan Sarawak sebanyak 163 kes," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak sembilan kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu empat di Selangor dan masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu, Perak, Sabah, dan Sarawak.

"Sebanyak lapan kes membabitkan warganegara dan satu kes membabitkan bukan warganegara.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata, terdapat sembilan kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini, yang membabitkan enam kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster berkaitan komuniti dan satu kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

Menurutnya, kluster tempat kerja itu adalah Jalan Nusa Mega dan Jalan Industri A1 di Johor, Tapak Bina Jalan U-Thant T dan Tapak Bina Jalan Salak (Kuala Lumpur), Lorong Kilang (Selangor) dan Medan Bayan Lepas di Pulau Pinang.

"Sungai Lembing di Pahang membabitkan kluster komuniti selain Jalan Setia Jaya di Johor membabitkan kluster sama.

"Satu lagi kluster ialah Amanjaya di Kedah yang diletakkan di dalam kumpulan berisiko tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:36 PM