Nurul Hidayah Bahaudin dan Murnaena Muhammad Nasir


BAHAGIAN Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Petaling Jaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng Dinesh dengan rampasan heroin bernilai RM245,100 dalam dua operasi berasingan sekitar Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 37 dan 45 tahun dalam dua serbuan dilakukan jam 3 petang dan 9 malam.

“Kami berjaya merampas 13 bungkusan plastik besar lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 4,396 gram, tiga bungkusan plastik mengandungi dadah sama seberat 1,375 gram dan 1,600 plastik kecil heroin seberat 2,000 gram dianggarkan bernilai RM245,100.

“Selain itu, kami juga rampas pelbagai barangan lain seperti beg roda, bekas plastik lut sinar, mesin kedap, penimbang elektronik dan kereta Nissan Almera dengan anggaran nilai rampasan dianggarkan melebihi RM50,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di Petaling Jaya, hari ini.

NIK EZANEE (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin yang dirampas dari sindiket pengedaran dadah di kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya. FOTO OWEE AH CHUN.
NIK EZANEE (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin yang dirampas dari sindiket pengedaran dadah di kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya. FOTO OWEE AH CHUN.

Nik Ezanee berkata, sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu.

“Kami percaya sindiket itu mendapat bekalan dadah dari luar sebelum diedarkan kepada penagih di sekitar daerah ini. Berdasarkan rampasan dadah berkenaan, ia boleh dibekalkan kepada 8,000 penagih.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau dan didapati positif dadah. Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 2 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, polis masih memburu beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kegiatan seumpama itu diminta menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 0379662222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 5:03 PM