LIRIDON sah menjadi warganegara Malaysia, 3 Februari lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
LIRIDON sah menjadi warganegara Malaysia, 3 Februari lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Firdaus Hashim

HASRAT jutaan peminat bola sepak tempatan melihat kelibat Liridon Krasniqi turun membantu skuad Harimau Malaya berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai pada 26 Mac depan hanya akan diketahui minggu ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, keputusan mengenai status tonggak naturalisasi kedua negara itu akan diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam masa terdekat.

“Belum ada jawapan daripada FIFA. Mereka berjanji pada minggu depan (minggu ini) di mana PIC (pegawai terbabit) berada di luar negara dan akan kembali minggu depan,” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, akhbar ini mendedahkan FAM berusaha untuk segera menyenaraikan Liridon bersama pasukan negara selepas pemain kelahiran Kosovo itu sah menjadi warganegara Malaysia, 3 Februari lalu.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ketika ini masih menunggu lampu hijau daripada FIFA untuk beraksi dalam perlawanan itu.

Ia kerana tempoh permastautinan pemain tengah itu hanya akan genap lima tahun pada 25 Mac depan dan boleh didaftarkan pada 19 Mac, tujuh hari sebelum perlawanan berkenaan.

Sekiranya mendapat kelulusan segera FIFA, Liridon bakal mengikut jejak Mohamadou Sumareh yang melakar sejarah sebagai pemain naturalisasi pertama negara apabila mula menyarung jersi Harimau Malaya pada 2018.

Kehadiran Sumareh nyata menambah sengat jentera depan pasukan negara dengan dia kini muncul antara penjaring utama apabila meledak enam gol dalam 19 penampilan di peringkat antarabangsa.

Skuad negara bimbingan Tan Cheng Hoe ketika ini berada pada landasan tepat untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia apabila mengumpul sembilan mata untuk berada di tangga kedua Kumpulan G.

Vietnam di tempat teratas dengan 11 mata manakala Thailand, UAE dan Indonesia di tempat ketiga, keempat dan kelima kumpulan.

Berdasarkan format kelayakan, juara dan empat naib juara terbaik daripada lapan kumpulan akan mara ke pusingan ketiga yang dijadualkan berlangsung pada September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:31 AM