LIRIDON Krasniqi bersama MYKAD yang diterimanya FOTO ihsan FAM
LIRIDON Krasniqi bersama MYKAD yang diterimanya FOTO ihsan FAM
Firdaus Hashim


IMPIAN Liridon Krasniqi untuk menjadi pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh semakin hampir apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerima taraf warga negara Malaysia semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, program pengambilan pemain naturalisasi yang dicetuskan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin diharapkan dapat memantapkan lagi skuad Harimau Malaya selepas ini.

Katanya, FAM akan segera menghantar dokumen rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan kelulusan akhir daripada badan induk dunia itu.

“Liridon berusia 28 tahun sudah menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya. Dia kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada FIFA.

“FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

“Diharap kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya akan dapat memperkasakan lagi pasukan,” katanya.

Stuart juga berterima kasih kepada kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Datuk Muhyiddin Haji Mohd Yassin serta pegawai kementerian yang membantu sepanjang proses itu.

Sebelum ini, Liridon yang berasal dari Kosovo dan seorang lagi penyerang dari Brazil, Guilherme de Paula disenaraikan sebagai dua calon untuk pemain naturalisasi negara.

Bagaimanapun, De Paula yang berhijrah ke pasukan Perak dari Kuala Lumpur musim ini terpaksa menunggu lebih lama ekoran beberapa dokumen yang tidak lengkap.

Dengan kehadiran Liridon, bekas pemain Kedah itu bakal memperkuatkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dan dijangka akan membuat kemunculan dalam kejohanan rasmi pada September ini sama ada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 ataupun pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 6:01 AM