DE Paula salah seorang pemain naturalisasi negara yang beraksi di UAE, Jun lalu.
DE Paula salah seorang pemain naturalisasi negara yang beraksi di UAE, Jun lalu.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas gagal memperagakan aksi terbaik di Kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023 di UAE Jun lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menangguhkan sementara program naturalisasi membabitkan skuad Harimau Malaya.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan 'membekukan' projek terbabit bagi memberi laluan buat tiga jawatankuasa teknikal meneliti keberkesanan program itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat FAM akan datang.

Katanya, tiga jawatankuasa terbabit adalah Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia serta Jawatankuasa Program Naturalisasi dengan laporan lengkap akan dibentangkan November nanti.

"Ini salah satu perkara (pemain naturalisasi) yang dibenarkan di dalam Fifa. Walau bagaimanapun pada mesyuarat tadi memutuskan projek naturalisasi ini kita akan menunggu daripada tiga jawatankuasa yang akan berbincang dan perhalusi sebelum bawa ke mesyuarat Exco.

"Buat ketika ini, projek naturalisasi daripada FAM ditangguhkan," katanya pada sidang media secara maya sejurus berakhirnya mesyuarat kedua Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 yang berlangsung hari ini.

Bagaimanapun katanya, jika kelab-kelab mahu meneruskan pengambilan pemain naturalisasi ia dibenarkan seperti mana dilakukan pasukan Pahang yang merekrut tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh pada 2018 lalu.

"Bagaimanapun, ada kelab-kelab yang mahu menaturalisasikan seperti Sumareh semasa berada di Pahang dulu, tiada halangan. Namun untuk FAM (buat skuad Harimau Malaya), kita tangguhkan buat sementara dan kita menunggu laporan daripada jawatankuasa terbabit," katanya yang turut mengakui skuad negara hanya akan menggunakan khidmat tiga pemain naturalisasi iaitu Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula, mengikut budi bicara jurulatih kebangsaan.

Tiga pemain naturalisasi negara kendalian Tan Cheng Hoe sebelum ini dikritik hebat oleh peminat yang mahu FAM menggugurkan nama mereka susulan aksi bersahaja dalam kempen kelayakan Piala Dunia Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 9:13 PM