Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

MISI getir mampu mengancam nyawa. Itu keberanian ditunjukkan sekumpulan 20 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang mengambil masa lima hari ‘memujuk’ dua ekor gajah liar dewasa.

Difahamkan usaha dilakukan selepas dua gajah liar seberat lebih lima tan itu kerap mengganggu penduduk di sekitar Kampung Air Piau, Air Dengung, Tanah Merah, Kelantan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi menjinak dan memindahkan dua ekor gajah dewasa itu dimulakan pihak Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang dan kerjasama Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan diketuai Ketua Pusat PKGK Kuala Gandah Mohamad Khairul Adha Mat Amin.

Menurutnya, kakitangan UTG Kelantan menggunakan kaedah menembak peluru pelali untuk melemahkan gajah liar itu sebelum ditambat di lokasi tangkapan.

“Gajah jantan yang ditangkap dianggarkan berusia lebih 10 tahun dan mempunyai gading. Gajah jantan ini agresif dan berbahaya.

“Seekor lagi gajah ditangkap adalah gajah betina berusia lebih 50 tahun. Secara mata kasar, ada kemungkinan gajah ditangkap ini membabitkan ibu dan anak,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua gajah ini kerap menceroboh masuk ke dalam kawasan kebun getah, sekali gus menyebabkan penduduk takut untuk keluar menoreh getah pada waktu awal pagi.

“Sepanjang tempoh operasi, kami turut mendapatkan bantuan anggota balai bomba dan Penyelamat Gua Musang selain anggota Rela sepanjang operasi ini.

“Perhilitan kemudian menggunakan dua gajah denak betina, Abot dan Rambai bagi operasi memindahkan gajah liar itu kelmarin dengan bantuan UTG Kelantan, Rela dan penduduk setempat

“Usaha membawa dua gajah liar itu keluar dari hutan menuju ke jalan besar bermula pada jam 8.30 pagi dan selesai pada jam 3 petang kelmarin ,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua ekor gajah itu dibawa menaiki lori sebelum dibawa dan dilepaskan di Hutan Simpan Belum, Gerik, Perak.

“Operasi ini amat mencabar dan perlu dilakukan berhati-hati. Syukur konflik ini diatasi dengan baik,” katanya.

ANGGOTA Perhilitan yang berjaya melaksanakan operasi memindahkan gajah liar di  Kampung Air Piau, Air Dengung, Tanah Merah, Kelantan.
ANGGOTA Perhilitan yang berjaya melaksanakan operasi memindahkan gajah liar di Kampung Air Piau, Air Dengung, Tanah Merah, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:01 AM