YAYA. FOTO Ihsan Polis
YAYA. FOTO Ihsan Polis
Nur Lela Zulkipli


POLIS masih mengesan keluarga kanak-kanak perempuan empat tahun yang dipercayai ditinggalkan di sebuah restoran di Menara U2, Seksyen 13, di Shah Alam, malam tadi. Ketua Balai Polis Seksyen 9, Sarjan Mejar Indera Fauzi Abdullah berkata, pemilik restoran berkenaan mendapati kanak-kanak itu hadir keseorangan di premis itu, kira-kira 8 malam.

“Pemilik restoran berkenaan menunggu sehingga kira-kira 10 malam sekiranya terdapat waris yang hadir. Bagaimanapun, tiada sesiapa yang datang mengambil kanak-kanak itu.

“Sehingga kini juga tiada laporan berhubung kehilangan kanak-kanak di kawasan sekitar. Namun, kita masih giat mencari waris kanak-kanak perempuan itu,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya lagi, kanak-kanak itu hanya memaklumkan rumahnya terletak jauh dan tidak mengetahui nama kedua ibu bapanya.

“Kanak-kanak itu hanya beritahu namanya Yaya dan tidak tahu rumah di mana kerana terletak jauh. Dia juga tidak menangis atau meragam sepanjang berada di bawah jagaan pihak polis.

“Kanak-kanak itu masih tidak lancar bercakap dan hanya tahu menyebut beberapa perkataan. Bagaimanapun, dia berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau waris kanak-kanak itu bolehlah menghubungi talian 03-55202242/43 atau tampil ke Balai Polis Seksyen 9.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 3:02 PM