WANITA dikenali sebagai Yani sedang dikesan JKM Pendang untuk urusan dokumentasi anak lelakinya. FOTO Ihsan JKM Pendang
WANITA dikenali sebagai Yani sedang dikesan JKM Pendang untuk urusan dokumentasi anak lelakinya. FOTO Ihsan JKM Pendang
Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang mengesan ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan tanpa dokumen pengenalan diri kepada seorang suri rumah, Mei lalu.

Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Pendang, Nor Akmal Jamaluddin berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi 20 Mei lalu, ibu kepada kanak-kanak itu datang ke rumah Norhayati Khamis, 51, di Kampung Panjang, Bukit Jenun, Pendang.

Katanya, wanita warga Indonesia dikenali sebagai Yani itu kemudian meminta Norhayati menjaga kanak-kanak terbabit selama dua minggu, sementara dia bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

“Ibu kanak-kanak itu adalah jiran kepada Norhayati semasa bekerja di Pulau Pinang sebelum ini, namun selepas dua minggu Yani tidak datang menjemput anaknya dan gagal dihubungi.

“Kanak-kanak yang hanya dipanggil ‘abang’ itu dipercayai berusia lima tahun dan kini ditempatkan dalam Perintah Jagaan sementara di institusi JKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini pihak JKM belum berjaya mengesan waris kanak-kanak terbabit untuk tindakan lanjut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Yani boleh menghubungi beliau di talian 04-7596235 atau tampil ke pejabat JKM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:51 PM