ZAMRI melihat ombak besar yang menyebabkan  hakisan yang teruk di kawasan belakang rumahnya hinggakan ada penempatan penduduk yang sudah ditelan ombak setiap kali waktu air pasang, terutama pada waktu malam di Kampung Tanjung Gelam. FOTO/GHAZALI KORI
ZAMRI melihat ombak besar yang menyebabkan hakisan yang teruk di kawasan belakang rumahnya hinggakan ada penempatan penduduk yang sudah ditelan ombak setiap kali waktu air pasang, terutama pada waktu malam di Kampung Tanjung Gelam. FOTO/GHAZALI KORI


“OMBAK tiga beradik yang paling ditakuti kerana hentakan dan luncuran airnya mampu merobohkan rumah sekelip mata,” kata Zamri Awie, 46, salah seorang penduduk yang masih tinggal di persisir Pantai Tanjung Gelam.

Zamri berkata, dia tinggal di rumah pusaka arwah ayahnya itu sejak dia berusia sembilan tahun dan pernah berpindah daripada rumah itu selepas ia dipukul ombak pada 2014.

“Bagaimanapun, berikutan kesempitan wang seterusnya tidak mampu lagi menyewa rumah, saya terpaksa kembali ke rumah pusaka arwah ayah itu sejak dua tahun lalu.

“Saya dan isteri, Fatimah Awang Nik, 48, memang takut tinggal di rumah itu terutamanya pada musim sekarang, tetapi apa boleh buat hanya rumah itu yang boleh dijadikan tempat berteduh.

“Sejak berlakunya air pasang besar dan angin musim monsun timur laut dua minggu lalu, saya dan isteri tidak boleh tidur dengan nyenyak kerana bimbang rumah dipukul ombak,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, jarak di antara rumahnya dengan lancaran ombak hanya tiga meter sekali gus memaksanya untuk sentiasa berjaga-jaga.

“Rumah kami masih bernasib baik kerana kawasan tengah pantai di hadapan rumah sudah dibina benteng pemecah ombak menyebabkan lancaran ombak tidak terlalu kuat.

“Bagaimanapun kami masih berasa takut setiap kali ombak besar yang dipanggil ombak tiga beradik menghempas pantai.

“Ombak itu datang secara berturut-turut berserta angin, setiap kali ia menghempas pantai, bergegar rumah kayu kami,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, ahli keluarganya ada menawarkan tempat tinggal sementara kepadanya, tetapi dia dan isteri enggan meninggalkan kediaman berkenaan.

“Setakat ini, kami masih boleh bertahan dan percaya kepada benteng pemecah ombak yang berada kira-kira 500 meter daripada rumah.

“Mengikut perkiraan nelayan, ombak paling besar akan berlaku pada 25, 26 dan 27 Disember nanti. Jika ia berisiko, kami akan berpindah juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu (SJPBT) Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pihaknya sentiasa menjalankan rondaan di kawasan persisir pantai yang berisiko sepanjang fenomena air pasang besar dan angin monsun timur laut.

“Selain kawasan pantai di Tanjung Gelam, Pengkalan Maras, Batu Buruk dan Marang, pihaknya juga memantau kawasan persisir Pantai Miami, Seberang Takir yang teruk dipukul ombak.

“Kami mengharapkan kerjasama semua pihak terutama penduduk di kawasan pantai supaya sentiasa berjaga-jaga dan jangan bertangguh untuk berpindah sekiranya berasa tidak selamat,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dan penduduk di kawasan pantai perlu mengutamakan keselamatan diri dan keluarga masing-masing terlebih dahulu.

“Jangan memandang rendah dengan kekuatan ombak kerana ia tidak boleh dijangka dan mampu memberi kesan buruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 7:00 AM