Keadaan ombak yang besar menyebabkan pantai Tanjung Gelam mengalami hakisan yang teruk sehingga menjejaskan rumah penduduk di kampung tersebut. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Keadaan ombak yang besar menyebabkan pantai Tanjung Gelam mengalami hakisan yang teruk sehingga menjejaskan rumah penduduk di kampung tersebut. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Zatul Iffah Zolkiply

 

Kuala Nerus: Beberapa kawasan pantai di Tanjung Gelam mengalami hakisan teruk sehingga mengakibat sebuah rumah rosak akibat ombak besar sejak petang tadi.

Pegawai Pengurusan Bencana, Operasi dan Logistik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri LT (PA) Norasmawi Abdul Mutalib berkata, berdasarkan pemantauan sehingga jam 10 malam tadi, ketinggian ombak dianggarkan mencecah 2.5 meter.

"Empat anggota ditugaskan membuat rondaan di sepanjang pantai Tanjung Gelam, Mengabang Telipot dan ombak besar itu mengakibatkan beberapa kawasan mengalami hakisan.

"Malah, terdapat beberapa rumah yang begitu hampir dengan pantai turut terkena hakisan.

"Kami menasihatkan penduduk yang terjejas mengambil langkah berjaga-jaga dan segera berpindah ke rumah ahli keluarga sekiranya ombak semakin besar," katanya.

Menurutnya, sehingga jam 11 malam tadi, ketinggian ombak sedikit berkurangan iaitu dua meter.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak berada di tepi pantai sekiranya fenomena ombak besar terus berlaku.

Difahamkan, sebuah keluarga sudah berpindah akibat kejadian berkenaan selepas kediaman mereka dipukul ombak.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 12:43 AM