Keadaan ruang tamu kediaman Hamidah yang hampir ranap dihempap ombak besar, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Keadaan ruang tamu kediaman Hamidah yang hampir ranap dihempap ombak besar, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Enam sekeluarga mengalami detik cemas apabila rumah didiami sejak 21 tahun lalu hampir ranap dipukul ombak di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, semalam.

Sebelum kejadian, Hamidah Hassan, 68, suami, Mustapa Ibrahim, 81, anaknya, Hamimah Mustapa, 41, dan tiga cucu berusia antara 10 hingga 17 tahun sedang berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu rumah kira-kira jam 11.30 malam.

Hamidah berkata, dia meminta cucunya mematikan televisyen dan pindah ke ruang rumah selepas mendapati keadaan ombak semakin besar dan angin kencang.

"Selepas lebih setengah jam suami, anak dan cucunya pindah ke ruang tengah, secara tiba-tiba sebahagian ruang tamu runtuh dipukul ombak besar.

"Kami menghubungi talian kecemasan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk meminta bantuan selepas mendapati ombak semakin besar berserta angin kencang," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Wakaf Tengah, hari ini.

Hamidah berkata, dia pada mulanya mahu terus tinggal dalam rumah kerana beranggapan ombak besar dan angin kencang akan berhenti.

Bagaimanapun, katanya, anggota APM serta polis menasihatkan mereka berpindah kerana beberapa tiang simen bahagian ruang tamu sudah runtuh disebabkan berlakunya hakisan selepas dipukul ombak besar.

"Kami dengan bantuan pegawai dan anggota APM serta polis bergotong-royong memindahkan pelbagai barangan serta perkakas rumah ke ruang dapur.

"Sebelum ke PPS, kami terkejut apabila mendapati ruang tamu yang dipukul ombak berada dalam keadaan senget dan hampir ranap," katanya.

Sementara itu, Hamimah yang juga ibu tunggal berkata, dia sekeluarga akur dengan nasihat pihak berkuasa selepas memikirkan keadaan bapa kurang sihat dan ruang tamu yang semakin senget.

"Kami bercadang untuk membina rumah berhampiran tapak asal jika kediaman yang didiami tidak selamat untuk terus diduduki," katanya.

Hamimah juga meminta kerajaan menyegerakan projek pembinaan benteng pemecah ombak bagi mengelakkan lebih banyak kediaman penduduk di pesisir pantai runtuh disebabkan berlakunya hakisan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 4:54 PM