Rosli Ilham

Kemaman: Dapur dua rumah runtuh akibat dibadai ombak besar dalam kejadian fenomena air pasang besar dan ribut di Kampung Geliga Baru, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu turut menyebabkan pagar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas runtuh.

Mangsa Normah Mahmud, 63, berkata ketika kejadian dia sedang tidur, manakala anaknya Wan Azlam Ramli, 40, berada di dapur.

Menurutnya, dia terkejut apabila terdengar bunyi seperti benda runtuh sebelum anak berlari naik ke ruang tamu memaklumkan bahagian dapur runtuh dipukul ombak.

"Masa kejadian angin sangat kuat sebelum saya dikejutkan dengan satu dentuman kuat. Azlam yang ketika itu berada di dapur berlari meluru ke arah saya memaklumkan dapur sudah runtuh. Mujur dia tidak dihempap runtuhan itu.

"Saya kemudian menjenguk bahagian dapur dan sangat terkejut selepas mendapati peralatan dan sebahagian perabut dihanyutkan ombak.

"Ketika itu kami berdua duduk berpelukan kerana ketakutan akibat bimbang bahagian tengah rumah juga akan runtuh," katanya.

Keadaan bahagian dapur rumah Normah Mahmud yang runtuh dibadai ombak. FOTO Rosli Ilham
Keadaan bahagian dapur rumah Normah Mahmud yang runtuh dibadai ombak. FOTO Rosli Ilham

Katanya, rumah berkenaan dibina hasil titik peluk bersama arwah suami, Ramli Wan Abdullah sejak 30 tahun lalu dan dibimbangi ia akan runtuh jika kejadian berulang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Geliga Baru, Wan Ahmad Darus Wan Musa berkata, kawasan pantai yang semakin terhakis dan kritikal itu dikhuatiri boleh memusnahkan lapan rumah penduduk lain.

Menurutnya, kerajaan negeri diharap dapat mengambil tindakan segera membina benteng pemecah ombak atau memindahkan penduduk ke kawasan penempatan yang lebih selamat.

"Setiap kali musim monsun timur laut dan air pasang besar berlaku, penduduk di kawasan pantai ini tidak tidur lena kerana takut kediaman mereka dibadai ombak.

"Bila berlaku kejadian ombak besar pasti air ombak akan memasuki kediaman sekali gus rumah mereka dipenuhi pasir pantai," katanya.

Katanya, dalam tempoh 10 tahun, kira-kira 20 rumah penduduk musnah akibat dipukul ombak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 4:37 PM