DRAMA Sembilan mengisahkan misteri kehilangan kanak-kanak tapi kembali semula selepas 9 tahun
DRAMA Sembilan mengisahkan misteri kehilangan kanak-kanak tapi kembali semula selepas 9 tahun

Oleh Ramlah Zainal

[email protected]

Drama

bersiri genre seram thriller, Sembilan bukan saja memaparkan kisah pergolakan emosi, pengorbanan dan ikatan kekeluargaan, tetapi juga sarat babak saspens serta aksi mendebarkan.

Sembilan garapan pengarah terkenal, Razaisyam Rashid menggabungkan barisan pelakon hebat Malaysia dan Indonesia.

Drama bersiri 10 episod itu menampilkan barisan pelakon tempatan iaitu Beto Kusyairi, Amerul Affendi, Azhan Rani, Sara Ali dan Luqman Hafidz.

Barisan pelakon dari Indonesia ialah Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Endhita Wibisono dan Roy Marten.

Selaku pengarah, Razaisyam mengakui Sembilan adalah naskhah berat dan paling mencabar pernah dihasilkannya.

“Drama ini menampilkan latar belakang bandar Pontianak di kawasan sempadan Kalimantan.

“Barisan pelakon juga perlu menguasai dialek dalam bahasa Pontianak yang asing dengan mereka.

LAKONAN mantap Beto dan Atiqah.
LAKONAN mantap Beto dan Atiqah.

“Kami menyediakan guru lakonan untuk membantu pelakon menguasai dialog dengan baik di lokasi,” katanya.

Razaisyam berkata, penggambaran membabitkan tempoh yang lama iaitu 74 hari pada Jun tahun lalu.

“Ia membabitkan lokasi sekitar Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), Lembah Klang dan Studio Pinewood Iskandar di Johor Bahru.

“Lebih menyukarkan kerja penggambaran kerana kawasan sekitar Kampung Orang Asli tiada liputan Internet,” katanya.

Mengenai naskhah pula, kata Razaisyam, ia idea daripada penulis skrip terkenal Indonesia, Salman Aristo yang pernah menulis karya pecah panggung seperti filem Ayat-Ayat Cinta dan Laskar Pelangi.

“Cerita ini mengenai misteri kanak-kanak yang hilang, tetapi selepas sembilan tahun dia kembali semula ke pangkuan keluarga dalam keadaan sama dan menimbulkan keadaan kacau-bilau di kampung,” katanya.

Drama setanding kualiti filem

Pengarah Terbaik Anugerah Telenovela 2018 menerusi drama bersiri Mandatori ini, berkata, dia mahu menghasilkan drama setanding dengan kualiti filem sekali gus mengangkat martabat drama tempatan ke tahap lebih tinggi.

Menurut Razaisyam lagi, dia mahu menampilkan karya yang lebih segar dan ada kelainan untuk kepuasan diri dan penonton.

“Sembilan adalah drama bersiri kedua yang dihasilkan selepas Mandatori yang bersiaran di Astro sebelum ini.

“Saya mahu hasilkan drama bersiri yang kualitinya lebih baik lagi.

“Drama ini turut diselitkan kisah cinta, tetapi kisah cinta ibu terhadap anaknya,” katanya.

Razaisyam berkata, kos pembikinan Sembilan juga mencecah RM4 juta.

“Kami turut mendapat sentuhan pengarah sinematografi terbaik dari Indonesia, Yadi Sugandi.

“Selain bintang utama, barisan pelakon tambahan membabitkan 1,000 orang,”katanya.

Mengulas pemilihan barisan pelakon utama pula, kata Razaisyam, dia mencari pelakon yang boleh menjiwai watak seperti dikehendaki skrip.

“Kami buat proses uji bakat untuk pemilihan pelakon dan Beto sesuai melakonkan watak utama Azim (suami Rimbun) yang bercakap dialek Sarawak dalam cerita ini.

“Amerul pula memang pilihan pertama saya untuk drama bersiri ini. Lakonannya sangat cemerlang dan berbeza daripada sebelum ini,” katanya.

Ditanya kerjasama dengan pelakon utama dari Indonesia pula, kata Razaisyam, dia tidak berdepan masalah kerana mereka sangat profesional sepanjang penggambaran.

“Saya selesa dan mudah untuk bekerjasama dengan barisan pelakon yang bagus.

“Atiqah yang memegang watak Rimbun dalam drama ini memang pelakon berkaliber dan dikenali kerana lakonan mantapnya dalam karya pengarah terkenal Joko Anwar,” katanya.

Drama bersiri Sembilan boleh ditonton secara eksklusif di aplikasi Astro Go secara percuma bermula Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:15 AM