Allahyarham Firdaus Hanif
Allahyarham Firdaus Hanif
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MAYAT pengarah filem dan drama Firdaus Hanif atau Pitt Hanif, 43, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 4.25 petang hari ini selepas terjatuh bot ketika memancing di Sungai Jelai, Lipis semalam.

Pasukan SAR menemui mayatnya kira-kira 500 meter dari lokasinya dilaporkan terjatuh.

Difahamkan, mayatnya ditemui terapung oleh pasukan penyelamat di air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta sudah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat.

Portal Harian Metro semalam melaporkan Pitt juga anak kepada pelakon popular Fauziah Nawi dikatakan memancing bersama seorang lagi rakannya pada 1 tengah hari sebelum bot dinaiki mereka dikatakan melanggar jambatan sebelum pecah.

Kejadian itu menyebabkan dia dihanyutkan arus sungai, manakala rakannya dapat diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Shahrulnizam Nasir berkata, penemuan mayat sudah dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, proses pengecaman awal oleh ahli keluarga mangsa yang hadir sudah dilakukan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi hari ini dibahagikan mengikut beberapa sektor pencarian dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh di Sungai Jelai dekat Kampung Mela hingga ke kawasan Jerantut Feri.

“Seramai 70 pegawai dan anggota terbabit mengesan mangsa selepas memulakan opersi pada 8 pagi tadi sebelum mayatnya ditemui,” katanya.

Pitt dilaporkan dalam fasa terakhir menyiapkan sesi penggambaran filem Coast Guard yang memulakan penggambaran sejak lebih dua bulan lalu.

Berita berkaitan

Fauziah Nawi sabar menanti...

Pitt cuba berenang untuk selamatkan diri

[UPDATE] Radius 3km cari Pitt Hanif

'Saya tahu awak kuat Pitt' - Farah

Anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 5:58 PM