OlehNurul Hidayah Bahaudin


“Saya hanya jaga kedai saja. Barang itu (rokok seludup) bos punya.”

Begitu dakwa seorang lelaki warga Indonesia yang ditahan selepas didapati menjual rokok seludup dalam serbuan di Kampung Baru Subang di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 20-an itu antara tujuh lelaki warga asing ditahan dalam serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh Asisten Superintendan Ana Mohamed bermula jam 9.30 malam.

Menurut lelaki berkenaan, kedai runcit terbabit didakwa dimiliki individu warga tempatan dan dia hanya bekerja sebagai penjaga di premis berkenaan.

“Saya hanya jual barang. Saya tidak tahu mana bos (majikan) dapat barang itu (rokok seludup).

“Ada ramai (pelanggan) yang datang untuk beli rokok (seludup) sama ada orang tempatan atau warga asing,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya memeriksa tiga kedai runcit dan sebuah gerai menjual burger selepas didapati menjual rokok seludup di sekitar Kampung Baru Subang.

“Hasil serbuan itu, kami berjaya menahan tujuh warga asing terdiri dua lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Indonesia berusia antara 24 hingga 37 tahun.

“Pemeriksaan di lokasi berjaya menemui sebanyak 1,114 kotak rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM8,000,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shafa’aton berkata, semakan dokumen mendapati semua suspek tinggal lebih masa di negara ini.

“Mereka direman selama lima hari bermula hari ini (semalam) untuk siasatan mengikut Sekyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu diminta tampil di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan onar dilakukan warga Bangladesh yang kini semakin berani terbabit dengan kegiatan menjual rokok seludup, menyelia pusat perjudian dan perniagaan kedai runcit.

Mereka juga menjajah kawasan sekitar Bandar Pinggiran Subang, Subang Bestari, pekan Subang Lama dan pekan Sungai Buloh.

Kebanyakan premis berkenaan dimiliki oleh warga Bangladesh yang menyewa lesen dari warga tempatan dengan harga RM500 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 8:00 AM