MANGSA dibawa ke Hospital Tumpat. FOTO ihsan pembaca
MANGSA dibawa ke Hospital Tumpat. FOTO ihsan pembaca
Siti Rohana Idris


LELAKI ditembak ketika sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Kampung Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat, petang tadi.

Dua daripada tiga peluru yang dilepaskan suspek terkena paha dan tangan kanan mangsa yang berusia 24 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, kejadian berlaku pada jam 3.15 petang ketika mangsa sedang menjamu selera bersama dua lagi rakan.

“Tiba-tiba datang seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC berwarna merah dan melepaskan tiga das tembakan.

“Mangsa yang cedera di paha dan tangan kanan dibawa ke Hospital Tumpat dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Wan Khairuddin berkata, polis sedang menyiasat secara menyeluruh bagi mengetahui motif kejadian.

Beliau berkata, satu pasukan khas ditubuhkan untuk melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek.

“Kami meminta sesiapa yang mempunyai maklumat, boleh menyalurkannya kepada pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai makan, Zuki Che Hassan, 48, berkata dia ketika itu sedang mencuci pinggan di belakang kedai sebelum terdengar bunyi beberapa letupan.

Dia menyangkakan ia bunyi gas meletup tapi sebaik keluar ke bahagian hadapan, dia ternampak seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Dalam keadaan berdarah, mangsa berlari ke arah rumah penduduk berdekatan dan pada masa sama penembak cuba mengejarnya namun gagal.

“Beberapa pelanggan yang berada dalam kedai juga lari bertempiaran kerana terkejut dan panik dengan kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 7:09 PM