GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah kereta dipandu bekas isterinya dalam kejadian di Kampung Tapang di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) kira-kira 7 pagi, hari ini dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.

Sebelum itu, mangsa berusia lingkungan 30-an membuat laporan mendakwa bekas suaminya mengekorinya ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah bersama anak pada jam 7.30 malam dan kemudian melepaskan satu das tembakan.

"Pemeriksaan yang dibuat pasukan forensik mendapati benar ada kesan pecah pada cermin kereta jenis Kia Rio mangsa, namun tidak menemui anak peluru atau kelongsong yang digunakan.

"Mangsa serta seorang kanak-kanak yang berada dalam kenderaan itu tidak cedera," katanya ketika dihubungi.

Wan Khairuddin berkata, pihaknya juga menyoal orang awam di kawasan kejadian namun mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi tembakan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 11:18 AM