RAKAMAN gambar tular di media sosial. FOTO media sosial
RAKAMAN gambar tular di media sosial. FOTO media sosial
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua lelaki melepaskan tembakan sehingga mencederakan tiga individu di sebuah kedai kopi di Lorong 3, Jalan Wong King Hou, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, ketiga-tiga mangsa menjamu selera di premis berkenaan sebelum diserang oleh kedua-dua lelaki terbabit.

Sumber berkata, dua penyerang dalam kes itu menyamar sebagai penghantar makanan dengan menaiki motosikal berasingan.

Seorang daripada penyerang dikatakan menghampiri mangsa sebelum melepaskan tembakan manakala seorang lagi penyerang melepaskan tembakan dari arah luar kedai kopi itu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 5.41 petang memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati tiga lelaki terkena tembakan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi di tempat kejadian, dua penyerang menaiki dua motosikal berasingan.

"Tiga mangsa yang cedera terkena tembakan yang dilepaskan dua lelaki itu adalah lelaki Cina berusia lingkungan 27 hingga 33 tahun.

"Keadaan mereka stabil dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Sibu," katanya.

Zulkipli berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan polis belum mengenal pasti motif kejadian.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh mencetuskan kegusaran awam.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mingat Bakil di talian 019-8867978 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 1:01 PM