PERLAWANAN dihentikan seketika akibat penyokong mula memasuki padang.
PERLAWANAN dihentikan seketika akibat penyokong mula memasuki padang.
Daripada Firdaus Hashim di Jakarta dan Indonesia


JAKARTA: Rusuhan penyokong di tepi padang dan di luar stadium, selain terpaksa menaiki kereta perisai barracuda untuk keluar dari Gelora Bung Karno antara detik cemas yang disifatkan umpama medan ‘perang’ oleh pemain skuad Harimau Malaya.

Penyerang negara, Safawi Rasid berkata, situasi tegang dan panas sepanjang perlawanan menentang Indonesia adalah pengalaman yang amat menakutkan.

“Saya rasa macam dalam perang sebab saya tak pernah rasa yang penonton turun dari tempat duduk nak pergi (tepi padang untuk merusuh penyokong Malaysia), selepas itu pula naik barracuda. Semua itu pengalaman saya dalam bola sepak.

“Saya rasa selamat (naik barracuda), tapi masih nampak ada penyokong (tuan rumah) yang menunjukkan isyarat lucah kepada kami ketika menaiki kenderaan itu,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini, malam kelmarin.

Kekecohan penyokong Indonesia berlaku sebaik skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mengikat kedudukan 2-2 pada pertengahan babak kedua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 hingga penyokong Malaysia dihujani balingan botol, objek tajam dan bom asap.

Ia kemudiannya berlarutan dengan kemuncak penyokong Garuda mula memanjat penghadang tempat duduk dan masuk ke kawasan tepi padang untuk menyerang penyokong negara.

Berpunca daripada kekecohan itu, bukan saja perlawanan terpaksa dihentikan selama lapan minit pada separuh masa kedua bahkan ratusan penyokong Malaysia yang hadir hanya dibenarkan keluar dari stadium kira-kira jam 12.45 tengah malam semalam atas faktor keselamatan.

Kemarahan penyokong tuan rumah terus memuncak apabila pasukan mereka tewas 2-3 dan rusuhan kemudiannya beralih di luar stadium dengan anggota keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah perusuh.

Menurut penjaring gol kedua negara, Syafiq Ahmad, tindakan pantas pengurusan pasukan dan pihak berkuasa yang mengarahkan pemain supaya menaiki barracuda amat tepat memandangkan keadaan di luar pekarangan stadium ketika itu tidak selamat.

“Dari awal kita tahu penyokong Indonesia memang fanatik. Pengalaman naik barracuda satu pengalaman baharu, memang rasa naik barracuda ini macam keluar ke medan perang.

“Sebab kita tahu bila kita naik barracuda ia satu perisai makna kata untuk menjaga keselamatan. Memang selamat naik kenderaan itu daripada naik bas,” kata Syafiq.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 5:40 AM