KERETA perisai Barracuda.
KERETA perisai Barracuda.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Bayangan kereta perisai Barracuda kembali ‘menghantui’ skuad Harimau Malaya selepas sah bakal mengharungi aksi pertama pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Gelora Bung Karno, 5 September ini.

Sebaik saja jadual perlawanan itu diumumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kelmarin, penyokong fanatik Indonesia sudah mula membayangkan anak buah Tan Cheng Hoe pasti berdepan ‘masalah’ di Jakarta nanti.

Apakan tidak, laman rasmi Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut cuba digodam dan laungan kata-kata provokasi sudah mula kedengaran.

Justeru, jika keadaan memaksa, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tidak menolak kemungkinan pemain dan seluruh warga Harimau Malaya akan meninggalkan Gelora Bung Karno dengan menaiki Barracuda buat kali ketiga dalam sejarah bola sepak negara.

Aksi membabitkan Malaysia-Indonesia sering berlangsung dalam suasana tegang dan panas dengan barisan pemain serta jurulatih terdedah kepada pelbagai risiko.

Malah, berdasarkan dua insiden pada final Piala AFF 2010 dan Sukan SEA 2011, barisan pemain negara terpaksa menaiki Barracuda bagi menjamin keselamatan pemain selepas menerima pelbagai ancaman.

Hamidin berkata, FAM menghubungi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kelmarin bagi mendapatkan jaminan keselamatan buat pasukan kebangsaan apabila bertandang ke sana nanti.

Beliau berkata, keselamatan pemain adalah lebih penting dan pihaknya tidak akan berkompromi dan sedia menaiki kereta perisai itu andai ia adalah jalan terakhir buat anak buah Cheng Hoe.

“Memang kita selalu bermain atau bertandang ke Indonesia dan kita tak terlepas daripada insiden seperti provokasi melampau dan sebagainya.

“Berdasarkan pengalaman di Sukan SEA 2011, Piala AFF 2010 termasuk yang lain sudah tentu FAM akan memastikan AFC atau PSSI memastikan keselamatan tahap tertinggi buat penyokong dan juga pasukan kita... kita tak boleh kompromi.

“Pernah jadi isu bila saya jadi pengurus skuad bola sepak di Sukan SEA... di mana saya berbincang dengan Ketua Polis Jakarta dan beliau kata adalah lebih selamat naik Barracuda daripada bas biasa kerana puluhan ribu penyokong Indonesia berkumpul di luar stadium.

“Kalau ikutkan, kita tak boleh naik Barracuda tapi atas nasihat polis dan AFC, ketika itu kami tidak ada pilihan,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra dan makan tengahari bersama media, semalam.

Mengulas mengenai peluang anak buah Cheng Hoe dalam pusingan kedua kelayakan itu, Hamidin mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa biarpun diundi bersama tiga pasukan serantau Thailand, Vietnam dan Indonesia selain Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kita tak boleh ambil mudah tetapi ini peluang kita kerana saya kata kepada jurulatih, jika kita gagal layak sebagai 12 terbaik di pusingan pertama ini, kita akan diundi lagi pada 2020/2021 untuk Piala Asia di China dan kemungkinan undian itu lebih teruk.

“Jadi kita kena beri sepenuhnya untuk cuba menjadi empat pasukan naib juara terbaik dan layak automatik ke Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:30 AM