TERDETIK lakukan usaha murni.
TERDETIK lakukan usaha murni.
Najiy Jefri

PELAKON Sweet Qismina berjaya mengumpul lebih RM4,000 daripada pengikut akaun Instagram miliknya bagi tujuan sedekah ketika mengerjakan umrah, Ahad ini.

Sweet ketika dihubungi berkata, dia terpanggil mempelawa orang ramai untuk bersedekah kerana percaya setiap individu yang membantu turut mendapat pahala yang berlipat kali ganda.

“Insya-Allah wang sedekah ini akan saya gunakan sebaik mungkin ketika berada di Madinah dan Makkah nanti.

“Saya sudah mendapat maklumat kedai yang menawarkan penyediaan makanan dan minuman untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Saya terdetik untuk melakukan usaha murni ini selepas menghadiri kursus apabila ustaz memaklumkan ganjaran bersedekah di Tanah Suci. Mungkin tidak semua orang berkemampuan untuk pergi menunaikan umrah, jadi saya nak wakili mereka dengan membawa duit sumbangan yang diberikan supaya mereka juga dapat pahala yang berganda,” katanya yang akan berada di Makkah sehingga 6 Februari depan.

SWEET berharap usaha murninya berjalan lancar.
SWEET berharap usaha murninya berjalan lancar.

Sweet berkata, individu yang menghulurkan sumbangan tidak perlu bimbang kerana hasil kutipan terbabit akan disertakan dengan bukti.

“Saya akan memuat naik video dan gambar hasil sedekah yang anda hulurkan dari semasa ke semasa. Lagipun jumlah yang dikutip tidak besar, namun amanah ini akan saya jaga. Takkan saya ada niat jahat dengan duit yang orang ramai berikan. Saya pun nak mengerjakan umrah dan berada di Tanah Suci,” katanya.

Menurutnya, dia menyasarkan kutipan RM5,000 hingga RM10,000 untuk dibawa ke sana.

“Niat saya hanya ingin berkongsi pahala dengan pengikut. Ini adalah satu amal ibadah yang saya nak sangat buat.

“Doakan juga semoga ibadah umrah saya kali ini dipermudahkan memandangkan ini bakal menjadi pengalaman pertama saya di Makkah dan menunaikan impian ibu yang sudah lama berhajat menjejakkan kaki ke sana,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai wang sedekah ini boleh diikuti di Instagram @sweetqismina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:30 AM